Tiga blok rumah pekerja kilang papan di Jalan Kuala Segan Kemena musnah dalam kebakaran.  FOTO Erika George
Tiga blok rumah pekerja kilang papan di Jalan Kuala Segan Kemena musnah dalam kebakaran. FOTO Erika George
Erika George


SERAMAI 130 pekerja kilang papan di Jalan Kuala Segan, Kemena, Bintulu hilang tempat tinggal apabila tiga blok kediaman mereka musnah dalam kebakaran hari ini.

Kejadian 2.30 pagi itu berlaku ketika kebanyakan penghuni warga asing itu tidur.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, 11 anggota dikejarkan ke lokasi bersama dua kenderaan FRT dan sebuah EMRS sejurus menerima panggilan 2.41 pagi.

“Sejurus tiba, api sedang marak memusnahkan tiga blok rumah pekerja struktur tidak kekal dengan jarak tiga meter antara satu sama lain,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad berkata, pihaknya mengambil masa sejam bagi memadam kebakaran dan api berjaya dikawal pada 3.57 pagi.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan api berjaya dikawal dari merebak ke tiga lagi blok rumah pekerja yang terletak kira-kira enam meter dari blok rumah pekerja yang terbakar itu,” katanya.

Katanya, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengenalpasti punca kebakaran serta anggaran kerugian.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2019 @ 12:22 PM