ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa yang rentung di bawah timbunan sisa kebakaran bot mewah dua tingkat di Bukit Malut, Langkawi, hari ini. FOTO ihsan bomba.
ANGGOTA bomba menemui mayat mangsa yang rentung di bawah timbunan sisa kebakaran bot mewah dua tingkat di Bukit Malut, Langkawi, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Zuliaty Zulkiffli


LELAKI warga Indonesia berusia 29 tahun ditemui rentung di bawah sisa kebakaran sebuah bot mewah dua tingkat di Bukit Malut, Langkawi, semalam.

Mayat mangsa berusia 29 tahun ditemui selepas operasi pencarian dilakukan sejak semalam apabila mangsa dilaporkan hilang dalam kejadian pada 2.55 pagi itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mayat mangsa ditemui pasukan Unit K9 di bawah sisa kebakaran pada 7.12 malam ini.

Beliau berkata, setakat ini kerja mengeluarkan mangsa sedang dijalankan.

“Operasi disertai pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan Persiaran Putra bersama tiga jentera dan sebuah jentera tangki.

“Dalam kejadian itu, empat warga Indonesia termasuk seorang wanita mengalami sesak nafas dan dihantar ke Hospital Langkawi untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, setakat ini punca dan kerugian masih dalam siasatan.

Dalam kejadian awal pagi semalam, sebuah bot mewah di tempat pembaikan di Bukit Malut, musnah dalam kebakaran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2019 @ 11:03 PM