ANGGOTA RELA memantau kenderaan yang melalui Jambatan Angkat (Drawbridge) yang menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selepas ia dibuka mulai Ahad lalu hingga 17 Jun ini. FOTO Ghazali Kori.
ANGGOTA RELA memantau kenderaan yang melalui Jambatan Angkat (Drawbridge) yang menghubungkan antara Kuala Terengganu dan Kuala Nerus selepas ia dibuka mulai Ahad lalu hingga 17 Jun ini. FOTO Ghazali Kori.
Helmy Abd Rahman


JUMLAH kenderaan melalui jambatan angkat (drawbridge) berkurangan dengan ketara pada hari ketiga pembukaannya di Kuala Terengganu, hari ini.

Tinjauan NSTP di jambatan itu hari ini mendapati aliran trafik amat lancar sejak pagi hingga 5 petang hari ini dan ia jelas berbeza dengan keadaan pada hari pembukaan Ahad lalu dan semalam.

Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Mohd Nazri Jusoh yang bertugas di jambatan itu berkata, tiada kesesakan di jambatan berkenaan hari ini.

“Kalau nak bandingkan pada hari pembukaan, berebut-rebut orang nak lalu, sesak sampai 2 pagi.

“Begitu juga semalam, walaupun tidak sesak seperti hari pertama, jumlah pengguna masih ramai tapi hari ini memang lancar,” katanya.

Pembukaan sementara jambatan itu mulai Ahad lalu hingga 17 Jun ini adalah untuk pentauliahan dan pengujian prestasi jalan daripada sudut koordinasi sistem ‘signalling’ jalan di jambatan dengan sistem trafik di kawasan sekitarnya dan koordinasi sistem penyuraian trafik.

Sepanjang tempoh percubaan hanya kenderaan sahaja yang dibenarkan melalui jambatan berkenaan dan orang ramai di larang berada di atas jambatan berkenaan untuk merakam gambar.

Orang ramai tidak dibenarkan bersiar-siar atau berjalan kaki di atas jambatan kerana secara teknikal, jambatan berkenaan masih dianggap sebagai kawasan pembinaan.

Sepanjang tempoh percubaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan syarikat operator pengurusan jambatan akan memastikan aliran trafik berjalan lancar dan keselamatan pemandu sentiasa terjaga di dalam tempoh pengujian ini.

Selepas tamat pengujian sistem pada 17 Jun, jambatan itu akan ditutup semula kepada laluan trafik bagi pentauliahan komponen lain dan tarikh pembukaan rasmi jambatan angkat ini yang dijangka Julai nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Jun 2019 @ 8:57 PM