LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Mohd Sabran Md Sani


IDENTITI pemilik kereta Proton Wira kelabu dinaiki dua lelaki yang melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di pekan Kelapa Sawit, Kulai pagi semalam, sudah dikenal pasti.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, usaha kini sedang dilakukan bagi mengesan pemilik kenderaan itu bagi membantu siasatan kejadian berkenaan.

“Perbuatan suspek memandu secara melulu membahayakan orang lain dan keengganan berhenti walaupun diarahkan polis sehingga terpaksa dikejar juga amat berbahaya.

“Kita akan mengesan pemilik serta pemandu dan penumpang kereta itu untuk menyiasat jika mereka terbabit dalam kes jenayah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Dalam kejadian itu, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah sebuah kereta Proton Wira dinaiki dua lelaki yang melarikan diri ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan di pekan Kelapa Sawit, Kulai pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow dipetik berkata, kejadian jam 8.50 pagi ketika anggota kereta peronda polis (MPV) sedang melaksanakan rondaan rutin di kawasan berkenaan.

Beliau dilaporkan berkata, dua anggota terbabit terserempak dengan Proton Wira kelabu dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Persiaran Sri Putri, Kulai.

Terdahulu tular video berdurasi kira-kira 10 saat membabitkan aksi polis mengejar suspek menaiki sebuah Proton Wira di lampu isyarat pekan Kelapa Sawit semalam.

Turut kedengaran satu das tembakan di lepaskan ke arah kenderaan yang sedang memecut laju itu.

Berita berkaitan

Polis cari sampai dapat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Jun 2019 @ 2:35 PM