KEPALA mangsa, 6, tersangkut pada tudung periuk di rumahnya di Ampang. FOTO ihsan Bomba
KEPALA mangsa, 6, tersangkut pada tudung periuk di rumahnya di Ampang. FOTO ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


TINDAKAN seorang kanak-kanak lelaki bermain dengan tudung periuk menyebabkan tudung periuk berkenaan tersangkut pada kepalanya di rumahnya di Taman Ampang Indah, Ampang, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 8 malam itu, kepala mangsa yang berusia enam tahun tersangkut selepas dikatakan bermain dengan tudung periuk berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan, 8.04 malam tadi.

“Lapan anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati kepala kanak-kanak lelaki itu tersangkut pada tudung periuk berkenaan.

“Kami menggunakan gunting besi bagi memotong tudung periuk terbabit sebelum ia berjaya dikeluarkan kira-kira 10 minit kemudian,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, hari ini.

Norazam berkata, kejadian terbabit disedari ibu mangsa selepas mendapati tudung periuk berkenaan pada kepala anak lelakinya itu.

“Ibu mangsa cuba mengeluarkan tudung periuk berkenaan, namun gagal menyebabkan wanita itu menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan.

“Kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2019 @ 11:18 PM