ANGGOTA bomba melihat keadaan bilik sebuah rumah musnah terbakar di Flat Chendering. FOTO Zaid Salim
ANGGOTA bomba melihat keadaan bilik sebuah rumah musnah terbakar di Flat Chendering. FOTO Zaid Salim
Zaid Salim


WANITA pengsan selepas terkejut melihat rumah pangsa didiaminya bersama suami dan tiga anak, terbakar dalam kejadian di Chendering di Kuala Terengganu, malam tadi.

Tuan Norlida Tuan Ariffin, 27, yang sebelum itu membantu ibu saudaranya berniaga di Bazar Ramadan Kuala Ibai, pengsan sebaik tiba di rumahnya kira-kira 10 malam.

Suami Tuan Norlida, Mohd Khaizuwan Oslan Ariffin, 30, berkata, isterinya kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh penduduk rumah pangsa berkenaan.

Mohd Khaizuwan berkata, ketika kejadian 9.45 malam, dia bersama tiga anak, Muhammad Akid, 8; Nur Tihani, 7 dan Muhammad Akil berusia satu tahun tiada di rumah.

“Selepas berbuka puasa, saya menghantar anak ke rumah datuk mereka di Kampung Raja, Chendering.

“Saya pula ke tempat kerja di kedai membuat bingkai cermin di Kampung Kubang Ikan yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Mohd Khaizuwan berkata, kejadian itu menyebabkan segala persiapan menyambut Aidilfitri termasuk pakaian raya anaknya hangus apabila 45 peratus kediamannya termasuk sebuah bilik terbakar.

“Saya baru beli pakaian mereka kira-kira seminggu lalu dan semuanya hangus dengan kerugian dianggarkan hampir RM10,000, selain pakaian ada juga barangan lain dalam bilik itu.

“Tak tahulah macam mana anak hendak sambut raya tahun ini. Nampaknya tahun ini kami beraya dalam kesedihan. Apa pun, kami reda dengan ujian Ilahi dan mujur hanya bilik sahaja yang terbakar teruk,” katanya.

Saksi kejadian, Che Ku Adam Malik Che Ku Ron, 35, berkata, dia yang tinggal berjiran menyedari kejadian itu selepas terbau asap seperti orang membakar sampah dan terdengar bunyi cermin pecah lalu keluar rumah untuk membuat pemeriksaan.

“Sebaik keluar rumah saya dapati bilik rumah jiran terbakar dan segera berusaha memadamkan api yang marak menggunakan air daripada paip di rumah saya sebelum dibantu dua penduduk,” katanya yang juga anggota Emergency Rescue Team (ERT) di Istana Syarqiyyah, Chendering.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian 9.50 malam sebelum 24 pegawai dan anggota bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Pihak bomba mengambil masa enam minit untuk memadamkan kebakaran bilik berkenaan dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mei 2019 @ 1:35 AM