Zamzuri menunjukkan tempat yang menyimpan kelengkapan sekolah anaknya yang turut musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Zamzuri menunjukkan tempat yang menyimpan kelengkapan sekolah anaknya yang turut musnah dalam kebakaran di Kampung Kubang Batang, Wakaf Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


MALANG menimpa lima beradik dari Kampung Kubang Batang dekat Tumpat apabila semua kelengkapan sekolah yang dibeli mereka minggu lalu, hangus dalam kebakaran petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 petang semalam, pakaian sekolah, alat tulis serta buku teks milik lima anak Zamzuri Ismail, 42, hangus terbakar.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian dia dan isteri, Nor Suhaila Abdul Syukur, 37, ke rumah ibunya yang jaraknya hanya 20 meter dari rumah mereka.

“Saya bawa bersama anak yang berusia lapan tahun, manakala empat lagi tiada di rumah kerana ke rumah saudara di Johor.

“Saya menyedari kebakaran itu selepas 20 minit berada di rumah ibu apabila sepupu bergegas memberitahu saya tentang kebakaran itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Zamzuri berkata sebaik sahaja menerima berita itu, dia terus pulang dan setibanya di rumah, beliau mendapati api sedang marak di bahagian bilik tidur.

Dalam keadaan panik dia dan penduduk kampung segera mencari air untuk memadamkan api itu.

Menurutnya lagi kebakaran itu menyebabkan hampir 60 peratus rumahnya hangus dan mengalami kerosakan terutama bilik tidur dan bumbung di ruang tamu.

“Lebih mengharukan apabila anak menangis apabila melihat kelengkapan sekolah mereka yang baharu minggu lepas kami beli tidak dapat diselamatkan.

“Saya buntu bagaimana cara untuk menyediakan semula kelengkapan itu kerana lebih kurang seminggu lagi persekolahan akan dibuka,” katanya.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Penolong Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 6.59 petang dan tiba di lokasi kejadian 20 minit kemudian.

Katanya api berjaya dikawal pada jam 7.24 malam dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Disember 2018 @ 1:18 PM