HASANAH ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Januari lalu. FOTO Eizairi Shamsudin
HASANAH ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Januari lalu. FOTO Eizairi Shamsudin
Murni Wan Omar


MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur membatalkan waran tangkap yang dikenakan terhadap bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas selesai mendengar permohonan peguam Datuk Shaharudin Ali ang memohon waran tangkap terhadap Hasanah dibatalkan.

Mahkamah dalam keputusannya memerintahkan supaya Hasanah hadir bersama penjaminnya pada setiap tarikh bagi pengurusan kes sehingga hari perbicaraan.

Pada 24 Mei lalu, Mahkamah Tinggi mengeluarkan waran tangkap terhadap Hasanah selepas beliau gagal hadir tanpa sebab ketika pengurusan kes atas kesalahan pecah amanah wang RM50.43 juta yang dikenakan terhadapnya.

Terdahulu, Shaharudin mengemukakan permohonan maaf kerana gagal hadir pada prosiding terdahulu kerana terlepas pandang tarikh yang sudah ditetapkan.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk anak guamnya untuk hadir bagi pengurusan kes kerana ia bukan prosiding perbicaraan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad memberitahu mahkamah bahawa Seksyen 172 B Kanun Prosedur Tatacara Jenayah mewajibkan tertuduh hadir setiap kali kes disebut di mahkamah.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM) didakwa melakukan pecah amanah ke atas wang sebanyak AS$12.1 juta (RM50.43 juta) milik kerajaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, JPM, Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya antara 30 April dan 9 Mei tahun lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada dua tahun dan tidak lebih daripada 20 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah sudah menetapkan 15 hari bermula 3 Februari 2020 untuk perbicaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Mei 2019 @ 3:48 PM