Muhaamad Hafis Nawawi


TINDAKAN wanita mengandung tiga bulan yang memecah masuk kiosk menjual telefon bimbit di dalam pasar raya, di Kulim, bulan lalu mengundang padah apabila dia ditahan di Kampung Bengali, Sungai Puyu, Butterworth, Pulau Pinang semalam.

Turut ditahan lelaki warga Myanmar berusia 45 tahun yang juga pembeli telefon bimbit curi di tepi jalan Flat Baru Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, kejadian itu berlaku pada 12 April lalu apabila wanita berusia 23 tahun itu berada di dalam pasar raya itu sehingga 10 malam sebelum premis itu ditutup.

Menurutnya, sebaik premis ditutup, dia kemudian bertindak mencuri enam telefon bimbit pelbagai jenama di dalam kiosk itu menyebabkan kerugian RM3,500.

“Selepas mencuri dia kemudian keluar dari bangunan itu menggunakan laluan pekerja tanpa disedari pengawal keselamatan.

“Pemiliknya hanya menyedari kejadian itu keesokan paginya ketika ingin berniaga apabila melihat pintu diumpil dan beberapa telefon bimbit yang diletakkan dalam almari pameran hilang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Safuan berkata, susulan itu, polis kemudian menjalankan siasatan sebelum menahan lelaki Myanmar yang bekerja sebagai tukang rumah pada 1 pagi.

“Lelaki itu kemudian mengaku membeli telefon bimbit terbabit daripada seorang wanita dengan harga murah sebelum polis kemudian menahan wanita terbabit di rumahnya.

“Siasatan mendapati wanita terbabit menjual semua hasil curi itu kepada kenalannya di Butterworth,” katanya.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan pihak pasar raya dinasihatkan meningkat tahap keselamatan terutama menjelang musim perayaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan berhati-hati dengan tawaran telefon murah dari orang perseorangan dan perlu memastikan ia bukan barangan curi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 10:14 AM