SEORANG suri rumah menunjukkan bahagian kepala, yang cedera akibat diseret sejauh lima meter selepas menjadi mangsa ragut di Wakaf Bharu. Gambar ihsan pembaca.
SEORANG suri rumah menunjukkan bahagian kepala, yang cedera akibat diseret sejauh lima meter selepas menjadi mangsa ragut di Wakaf Bharu. Gambar ihsan pembaca.
Siti Rohana Idris


Seorang suri rumah cedera di kepala, kaki dan badan akibat diseret penjenayah ragut sejauh lima meter berhampiran Pejabat Pos Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan, pagi tadi.

Kejadian jam 10.40 pagi itu membabitkan mangsa berusia 57 tahun yang dihampiri suspek menaiki kereta model Proton Waja.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud berkata, mangsa baru selesai membeli belah di pasar Wakaf Bharu sebelum dihampiri sebuah kereta dari arah hadapan.

“Seorang lelaki yang juga penumpang hadapan kenderaan itu yang memakai penutup muka dan topi bertindak mengeluarkan separuh badannya melalui cermin kenderaan.

“Suspek dalam anggaran usia 20-an bertindak menarik beg tangan dipegang mangsa. Bagaimanapun tindakan itu menyebabkan mangsa terseret bersama kenderaan suspek yang sedang bergerak sejauh kira-kira lima meter,” katanya ketika dihubungi semalam.

Ab Rashid berkata, mangsa terus menjerit meminta tolong dan orang ramai yang berada di sekitar terus memberi bantuan.

Menurutnya, apabila melihat orang ramai mendekati lokasi, dua suspek termasuk pemandu kereta itu segera memecut melarikan diri tanpa berjaya meragut beg milik mangsa.

“Kami sedang mengesan suspek menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa premis yang merakam kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan merompak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mei 2019 @ 9:03 PM