FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Mohd Sabran Md Sani


JABATAN Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan seramai 111 individu membabitkan kesalahan tidak berpuasa dan makan di tempat awam dalam Operasi Gempur Ramadan sehingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Syariah JAINJ, Halid Sono berkata, daripada jumlah berkenaan daerah Mersing mencatatkan tangkapan tertinggi membabitkan 28 individu.

“Ia diikuti Kluang membabitkan penahanan 14 individu, Batu Pahat (13), Kota Tinggi (13), Johor Bahru (12) dan Kulai (10).

“Seramai tujuh individu di tahan di Muar dan masing-masing lima orang bagi Segamat dan Pontian, manakala Tangkak empat individu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerusi pegawai penguatkuasa agama (PPA) melaksanakan operasi membanteras individu tidak berpuasa daripada makan secara terbuka di restoran atau gerai makanan di seluruh Johor.

Katanya, tidak ada isu sukar mengesan kaki ponteng puasa memandangkan ramai yang makan secara terbuka di belakang warung dan gerai.

“Sepanjang dua minggu operasi dilaksanakan, belakang warung dan restoran dikenalpasti menjadi antara ‘port’ kegemaran kaki ponteng puasa makan secara terbuka.

“Tidak kurang pula ada yang menjadikan tepi lori untuk menjamu selera sebelum ditahan dalam operasi ini,” katanya.

Katanya, selain kaki ponteng puasa, sebanyak 12 pengusaha makanan dikenakan tindakan kerana menjual makanan secara terbuka.

Katanya, melihat kepada angka terbabit terdapat lonjakan kepada jumlah tangkapan kaki ponteng puasa sejak dua minggu operasi itu dilaksanakan.

“Didapati mereka ini seolah-olah kurang peka dengan kesucian bulan Ramadan dengan makan dan minum secara terbuka di khalayak umum.

“Sikap tidak sensitif ini menimbulkan persepsi negatif terhadap agama Islam, selain perilaku berkenaan turut diperhatikan kanak-kanak,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan individu ditahan diberikan nasihat, sebelum saman dikeluarkan bagi membolehkan mereka hadir di jabatan agama untuk rakaman percakapan.

“Jika gagal hadir, waran tangkap juga akan diberikan sekali gus mengingatkan golongan terbabit supaya lebih peka dengan undang-undang diperuntukkan,” katanya.

Mereka ditahan kerana tidak berpuasa disiasat mengikut Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997, manakala, peniaga disiasat mengikut Seksyen 15(a) enakmen sama.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya,” katanya.

Menurutnya, bagi kesalahan kedua atau seterusnya, boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2019 @ 1:39 PM