Omar Ahmad

Johor Bahru : Cuaca panas menjadi antara alasan bagi individu yang dikesan tidak berpuasa dalam 75 siri serbuan dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sejak awal Ramadan lalu.

Ketua Pengarah Penguatkuasaan JAINJ Dzulkafli Mohamed berkata, pihaknya sudah mengeluarkan 97 notis kesalahan kepada mereka yang didapati tidak berpuasa dan makan minum di kawasan awam secara terbuka sejak Ramadan pertama hingga hari ini.

Menurutnya, sebanyak 23 notis kesalahan juga dikeluarkan kepada pemilik kedai kerana menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.

"Sejak awal Ramadan ini, JAINJ sudah menjalankan serbuan dalam siri Ops Kesan yang bertujuan untuk membanteras perbuatan tidak menghormati bulan Ramadan.

"Antara perbuatan yang diambil tindakan dalam operasi ini termasuklah makan, minum dan juga menghisap rokok di kawasan awam dan mana-mana tempat terbuka.

"Lebih 120 individu diperiksa dalam operasi itu yang dijalankan seluruh negeri termasuk di kawasan kilang. Rata-rata yang didapati tidak berpuasa berusia antara lingkungan 20-an hingga 50-an membabitkan warganegara Malaysia dan juga pekerja asing," katanya ketika sidang media Ops Kesan di sekitar Tampoi dan Jalan Abdullah Tahir di sini, hari ini.

Pegawai Penguatkuasa JAINJ menahan individu tidak berpuasa dalam Operasi di sekitar Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Pegawai Penguatkuasa JAINJ menahan individu tidak berpuasa dalam Operasi di sekitar Johor Bahru, Johor. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Menurut Dzulkafli, kesemua notis kesalahan yang dikeluarkan dibuat mengikut Seksyen 15(a) dan Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.

"Kami berdukacita kerana masih ramai individu Muslim yang tidak menghormati kemuliaan Ramadan dengan makan dan minum di tempat awam secara terbuka.

"Walaupun enakmen ini telah dikuatkuasakan sejak 1997, masih lagi ramai yang ingkar. Masih ramai umat Islam tidak hormati bulan Ramadan dengan makan serta minum disiang hari secara terbuka.

"Sehubungan itu kami mengingatkan kepada peniaga dan orang awam bahawa JAINJ komited untuk menguatkuasakan undang-undang ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 3:38 PM