PASUKAN penyelamat cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba Johor
PASUKAN penyelamat cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit. FOTO ihsan Bomba Johor
Nurul Amanina Suhaini


SEORANG lelaki maut selepas Proton Wira dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung di Kilometer 12, Jalan Endau-Mersing, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Mersing Superintendan Cyril Edward Nuing berkata, dalam kejadian jam 12.15 malam, penumpang lelaki yang bersama mangsa hanya cedera dan kini dirawat di Hospital Mersing.

Katanya, kedua-dua mangsa warga tempatan yang juga pekerja kontrak Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID), Pengerang dalam perjalanan ke Kota Tinggi.

“Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan dari Dungun, Terengganu menghala ke RAPID Pengerang dan apabila tiba di satu kawasan selekoh tajam, kenderaan dipandu mangsa terbabas dan memasuki gaung sedalam kira-kira dua meter.

“Pemandu meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Mersing manakala seorang lagi mangsa cedera dan sedang menerima rawatan di hospital sama,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Cyril berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Mersing Amir Hamzah berkata, kedua-dua mangsa dikenal pasti sebagai Che Ku Mohd Hanafis Che Ku Abas, 31, (pemandu) dan Mohd Azri Mohd Ripin, 31 (penumpang).

Katanya, pemandu kenderaan mengalami kecederaan parah di kepala manakala penumpangnya mengalami cedera ringan.

“Pihak bomba menggerakkan 11 anggota bersama masing-masing sebuah jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke lokasi,” katanya.

Amir berkata, operasi ditamatkan pada jam 12.40 tengah malam dan mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Mei 2019 @ 12:26 PM