GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Sabran Md Sani


ISKANDAR PUTERI: Diumpan belanja makan dan hadiah mainan. Itu taktik digunakan seorang lelaki pedofilia berusia 59 tahun yang memperkosa seorang kanak-kanak perempuan beberapa kali sejak sebulan lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, tembelang lelaki itu terbongkar selepas mangsa mengadu kejadian kepada ibunya.

Katanya, laporan membabitkan kejadian itu diterima Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri daripada ibu mangsa berusia 38 tahun membabitkan kejadian rogol terhadap anak perempuannya jam 8.40 malam, Isnin lalu.

“Pengadu yang bekerja sebagai tukang cuci memaklumkan anak perempuannya berusia lapan tahun dicabul rakan serumah mereka.

“Kejadian itu diceritakan anak perempuan pengadu di rumah mereka di Taman Perumahan Rakyat Lima Kedai, Gelang Patah jam 3.30 petang, Selasa lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, semalam.

Beliau berkata, mangsa mendakwa dicabul rakan serumah keluarganya itu di tandas sebuah restoran mamak berhampiran rumah mereka.

“Suspek membawa anak perempuan pengadu masuk dalam tandas restoran mamak sebelum memegang kemaluan anak pengadu.

“Mangsa juga menceritakan kepada ibunya, lelaki terbabit turut memperkosanya di lokasi sama,” katanya.

Menurutnya, perbuatan itu terbongkar selepas ibu mangsa mengesan perubahan sikap pada anak perempuannya sebelum perbuatan rakan serumahnya terbongkar.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis daripada cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Iskandar Puteri menyerbu dan membuat tangkapan terhadap suspek di tepi jalan Jalan Bahagia, Lima Kedai, Gelang Patah, jam 2.30 petang, kelmarin.

Berdasarkan siasatan, suspek tinggal di ruang tamu rumah dan memberi sewa kediaman itu kepada penyewa lain termasuk bilik dihuni mangsa serta lima ahli keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mei 2019 @ 5:30 AM