GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Shahrinnahar Latib


HASRAT seorang wanita untuk mendapatkan modal bagi mengembangkan perniagaan tidak kesampaian apabila dia kerugian RM18,560 ditipu sindiket penipuan pinjaman tidak wujud yang tawarkan di Facebook.

Mangsa berusia 30 tahun dan memiliki perniagaan berkaitan bidang seni reka itu mula berurusan dengan suspek pada 19 April lalu, ketika mencari iklan pinjaman wang di laman sosial itu untuk dijadikan modal perniagaannya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa dikatakan tertarik dengan iklan ditawarkan suspek dan mengisi borang permohonan secara dalam talian.

“Suspek yang memperkenalkan diri sebagai ‘Edwin’ kemudiannya menghubungi mangsa melalui WhatsApp dan hasil perbincangan, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman berjumlah RM40,000.

“Mangsa kemudiannya diminta membayar sejumlah wang bagi tujuan pemprosesan pinjaman berkenaan oleh suspek dan setakat ini, mangsa sudah melakukan pemindahan wang sebanyak sembilan kali ke tujuh nombor akaun berbeza yang diberikan suspek.

“Jumlah keseluruhan wang yang sudah dipindahkan mangsa untuk tujuan memproses pinjaman itu ialah RM18,560 dan sehingga kini, mangsa belum memperoleh wang pinjaman yang dimintanya,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam, selepas mengesyaki ditipu sindiket terbabit.

Katanya, sindiket itu menggunakan modus operandi menawarkan pinjaman mudah kepada orang ramai dengan mengiklankan perkhidmatan mereka melalui laman sosial dan pihaknya menjalankan siasatan kes itu mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 11:58 AM