Mohd Hilmie Hussin


KES jenayah komersial di Melaka meningkat mendadak membabitkan kerugian RM52.6 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Wira Raja Shahrom Raja Abdullah, nilai kerugian sebanyak RM52,655,667.78 itu meningkat berbanding RM17,875,414.96 kerugian bagi kes sama yang dicatatkan pada 2017.

“Kes (penipuan) pembelian kediaman sehingga menyebabkan mangsa dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM22,318,310, menyumbang kepada kerugian yang tinggi dalam rekod jenayah komersil di Melaka sepanjang 2018.

“Meskipun, bilangan kes jenayah komersial menurun dengan 628 kes dicatatkan tahun lalu berbanding 1,429 kes pada 2017, namun jumlah kerugian meningkat berkali ganda,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Melaka anjuran Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang di Melaka, hari ini.

Raja Shahrom (tengah) beramah mesra dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. FOTO Khairunisah Lokman
Raja Shahrom (tengah) beramah mesra dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. FOTO Khairunisah Lokman

Yang hadir sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Senior Asisten Kommisioner Kamaluddin Kassim dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Baderulhisham Baharudin.

Sementara itu, Raja Shahrom berkata, pihaknya turut menerima sebanyak 146 kes membabitkan Macau Scam tahun lalu membabitkan kerugian sebanyak RM9.9 juta, African Scam RM2.2 juta (64 kes) manakala kes pecah amanah jenayah RM5.8 juta (48 kes).

“Memang ada tangkapan dilakukan dan tidak dinafikan modus operandi mereka begitu licik bagi memperdaya mangsa hingga mendorong mangsa untuk membuat perpindahan wang ke dalam akaun mereka,” katanya.

Raja Shahrom berkata, orang awam seharusnya peka dan mengambil prihatin setiap kes penipuan seperti itu yang dilaporkan media sehinggakan mengalami kerugian yang banyak dan majoriti mereka menggunakan wang simpanan sendiri.

“Sekiranya mereka dihubungi wakil jabatan kerajaan yang meminta membuat bayaran pinjaman dan sebagainya, perlu selidik terlebih dahulu, kerana kakitangan kerajaan mahupun agensi penguatkuasaan tidak akan menggunakan kaedah mengugut atau mengancam kerana bertentangan dengan prosedur operasi standard (SOP) penjawat awam,” katanya.

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 April 2019 @ 11:19 PM