Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
Norasikin Daineh


TERLUPA membawa rotan, seorang guru didakwa menghukum pelajar Tingkatan Satu di sebuah sekolah di Lahad Datu, dengan memukulnya menggunakan batang plastik penadah sampah kerana ponteng sekolah, Rabu lalu.

Dalam kejadian 11.30 pagi itu, guru lelaki berusia 38 tahun itu dikatakan memukul pelajar terbabit di punggung sebanyak 22 kali sehingga lebam dan cedera.

Pelajar itu dihukum guru terbabit yang juga guru kelasnya di hadapan pelajar lain di kelas berkenaan.

Laporan berhubung kejadian itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu, 9.56 pagi, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pelajar itu dihukum kerana tidak hadir ke sekolah pada 22 April lalu dan tidak memaklumkannya kepada guru kelas.

“Ketika siasatan, guru terbabit mendakwa menghukum mangsa menggunakan batang plastik penadah sampah kerana terlupa membawa rotan ke dalam kelas.

“Sebagai alternatif untuk melaksanakan denda, dia menggunakan batang plastik penadah sampah sebagai rotan sehingga pelajar itu lebam di punggung,” katanya.

Nasri berkata, siasatan lanjut mendapati pelajar berkenaan tidak hadir ke sekolah kerana mengikut bapanya ke Tawau menyaksikan kejohanan taekwondo.

“Pelajar berkenaan tidak membuat sebarang makluman kepada pihak sekolah berhubung ketidakhadiran ke sekolah hari itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2019 @ 8:36 PM