STEVEN ketika melawat Jailani di Taman Kota Masai.
STEVEN ketika melawat Jailani di Taman Kota Masai.
Mary Victoria Dass


PENANTIAN seorang pesakit buah pinggang, Jailani Atan, 60, mendapatkan katil khas disyorkan doktor selama tiga tahun berakhir semalam hasil sumbangan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon.

Jailani berkata, dia bergantung sepenuhnya kepada pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM700 sebulan selain sejumlah wang disumbang anak-anaknya.

Menurutnya, dia yang mengalami kegagalan buah pinggang sejak 15 tahun lalu dan menjalani rawatan dialisis menerusi bantuan Perkeso perlu menanggung kos pembelian makanan tambahan, perbelanjaan dapur dan sewa rumah berjumlah RM600 sebulan.

Katanya, dia tidak mahu membebankan enam anaknya berusia antara 20 hingga 30-an kerana mereka hanya bekerja biasa dan menerima sumbangan dihulurkan mengikut kemampuan mereka.

“Saya tidak bekerja selepas disahkan menghidap sakit buah pinggang. Nasib saya umpama jatuh ditimpa tangga apabila Mac tahun lalu, saya mengalami kesulitan untuk bergerak akibat terjatuh ketika berada di pusat dialisis di Pasir Gudang.

“Akibatnya tulang pinggul saya patah hingga tidak mampu berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda,” kata bekas pemandu lori itu.

Jailani berkata, dia terasa sakit setiap kali duduk atau bangun daripada katil dan terpaksa menangguh hasrat untuk membeli katil khas disyorkan doktor kerana kekurangan wang.

Menurutnya, harga katil khas berkenaan antara RM1,500 hingga RM3,000.

“Syukur kerana kini saya berpeluang menggunakan kemudahan sumbangan Ahli Parlimen Tebrau yang mengunjungi saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai, di sini.

Sementara itu, Steven berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan Jailani menerusi ahli keluarganya.

“Kami berharap sumbangan berkenaan dapat digunakan dengan sebaik mungkin selain memberi keselesaan kepada pesakit berkenaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2019 @ 6:00 AM