Antara barang rampasan dalam serbuan di sebuah rumah kedai semalam. FOTO Ihsan PDRM
Antara barang rampasan dalam serbuan di sebuah rumah kedai semalam. FOTO Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini


TIGA lelaki dikenali ‘Geng Spanar Jaya’ yang memecah masuk rumah kedai lumpuh selepas ditahan polis di sebuah rumah kedai, Taman Desaru Utama, Bandar Penawar, Kota Tinggi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, ahli kumpulan berusia 23 hingga 32 tahun itu ditahan 3.30 pagi semalam.

Katanya, penahanan itu membolehkan polis menyelesaikan 15 kes pecah rumah kedai dan pecah rumah serta dua kes kecurian kenderaan di daerah terbabit.

“Hasil maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Balai Polis Bandar Penawar bersama anggota Task Force Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi melakukan serbuan di rumah kedai itu.

“Pemeriksaan di premis itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis peralatan pecah rumah dan kami menemui dua motosikal disyaki digunakan dalam kegiatan pecah rumah kedai di perkarangan premis itu.

“Polis turut menemui satu paket kecil plastik lut sinar mengandungi syabu 1.5 gram,” katanya hari ini.

Ahsmon berkata, susulan tangkapan itu, polis menjalankan serbuan di sebuah rumah di kawasan Taman Nusa Damai, Pasir Gudang, 12.30 tengah hari semalam.

Katanya, pihaknya menemui sebuah motosikal diletakkan berhampiran rumah itu dan semua suspek bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Tinggi untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457, 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Merbahaya 1952.

“Hasil kerugian dianggarkan RM50,000 dan suspek direman tujuh hari sehingga 23 April ini.

“Semakan rekod jenayah mendapati seorang daripada suspek ada tiga rekod jenayah lampau iaitu dua kesalahan jenayah dan satu kesalahan narkotik,” katanya.

Katanya, polis terus mengesan beberapa individu yang masih bebas dipercayai sebahagian ahli kumpulan sindiket itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 April 2019 @ 11:57 AM