AHMAD Samsuri berucap di Majlis Jalinan Mesra KUPEKMAS di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
AHMAD Samsuri berucap di Majlis Jalinan Mesra KUPEKMAS di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu. FOTO Imran Makhzan
Helmy Abd Rahman


KERAJAAN Terengganu bersetuju menerima cadangan kenaikan tarif air seperti disaran kerajaan Pusat.

Menteri Besarnya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini berikutan tiada kenaikan tarif air di negeri ini bagi tempoh lebih 20 tahun.

Bagaimanapun, katanya, cadangan kenaikan itu tidak sama dengan negeri lain dan orang awam hanya dikenakan kenaikan minimum sahaja.

“Kita sudah mengadakan perbincangan bersama Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli mengenai perkara ini dan pada dasarnya, kerajaan negeri bersetuju menerima kenaikan tarif walaupun tidak sama dengan negeri lain.

“Kerajaan (negeri) beri jaminan, kenaikan untuk orang awam adalah pada kadar minimum dan tidak membebankan, berbeza dengan industri.

“Kenaikan kadar baru ini perlu dibuat berdasarkan kaedah pengiraan tertentu selepas mengambil kira kadar tarif di negeri ini tidak pernah disemak lebih 20 tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Jalinan Mesra Ahli Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (KUPEKMAS) Terengganu Bersama Menteri Besar di Kediaman Seri Iman di Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama, Presiden KUPEKMAS, Datuk Omar Osman dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Sebelum ini, akhbar melaporkan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar mengesahkan rancangan menaikkan tarif air bagi menjamin kualiti perkhidmatan dan bekalan kepada pengguna sudah mendapat persetujuan enam negeri.

Ia disebabkan situasi semasa menyaksikan peningkatan kos operasi tahunan industri pembekalan air tidak diimbangi dengan kadar tarif bekalan selain kadar tarif tidak pernah disemak dalam tempoh 20 tahun.

Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, pengumuman dan pelaksanaan kenaikan itu hanya akan dibuat selepas kerajaan Pusat membuat pengumuman rasmi.

“Saya tak jangka pengumuman ini akan dilakukan dalam masa terdekat... Mungkin dua atau tiga bulan lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 4:55 PM