MUSA berhadapan  pertuduhan membabitkan diri secara tidak langsung dalam aktiviti pengubahan wang haram.
MUSA berhadapan pertuduhan membabitkan diri secara tidak langsung dalam aktiviti pengubahan wang haram.
BERNAMA

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menetapkan 6 Mei depan untuk mendengar permohonan berkaitan isu perundangan difailkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman berhubung 16 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih AS$37.8 juta dan S$2.5 juta yang dihadapinya.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas sebutan kes berkenaan, semalam.

Terdahulu, peguam Francis Ng Aik Guan yang mewakili Musa, 68, memaklumkan mahkamah bahawa pasukan pembelaan bersedia untuk berhujah berhubung pemohonan itu, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Salim Soib @ Hamid berkata, pendakwaan akan membantah permohonan itu dan memerlukan masa untuk membalasnya.

“Pihak responden (pendakwaan) berhasrat untuk memasukkan afidavit balasan, sekurang-kurangnya 14 hari dari tarikh 10 April. Ini kerana afidavit ini perlu diperoleh daripada pegawai diplomatik Hong Kong dan Singapura.

“Pihak pendakwaan sudah menerima permohonan peguam pada 10 April,” katanya dan menambah pihak pendakwaan akan menyerahkan afidavit jawapan pada 24 April.

Mengikut tuduhan pertama, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam transaksi pengubahan wang haram dengan mengarahkan Richard Christopher Barnes, 67, membuka satu akaun di Bank UBS AG Singapura di atas nama Barnes untuk menerima hasil daripada aktiviti haram di Bank UBS AG, Singapura pada 21 Jun 2006.

Musa juga dituduh atas tuduhan alternatif bagi tuduhan pertama iaitu membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes membuka akaun di Bank UBS AG Singapura melalui akaun atas nama Barnes untuk menyembunyikan pemunyaan Musa ke atas hasil daripada aktiviti haram di tempat dan pada tarikh sama.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Musa didakwa membabitkan diri secara tidak langsung dalam pengubahan wang haram menerima masing-masing AS$16,148,547 dan AS$1,047,153 daripada Chia Tien Foh melalui akaun di atas nama Barnes di mana kedua-dua wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi tuduhan keempat dan kelima, Musa didakwa atas tuduhan sama menerima masing-masing AS$2,702,702 dan AS$2,180,673 daripada Young Generation Corp melalui akaun di atas nama Barnes di mana wang berkenaan adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi tuduhan keenam, Musa dituduh atas tuduhan sama menerima AS$4,044,956.82 daripada Lo Man Heng melalui akaun di atas nama Barnes di mana wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram dan bagi tuduhan ketujuh dan kelapan, beliau didakwa atas tuduhan sama menerima masing-masing AS$518,681.74 dan AS$895,000 daripada Mazlan Zakaria melalui akaun di atas nama Barnes di mana kesemua wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi tuduhan kesembilan dan kesepuluh, Musa didakwa atas tuduhan sama dengan menerima masing-masing AS$7,300,000 dan S$500,000 daripada Axon Group Ltd melalui akaun di atas nama Barnes di mana semua wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi tuduhan ke-11 dan ke-12, Musa menghadapi tuduhan sama dengan menerima masing-masing AS$862,000 dan AS$778,443 daripada Well Capital Finance Limited melalui akaun di atas nama Baernas di mana kesemua wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi tuduhan ke-13, Musa didakwa atas tuduhan sama menerima AS$650,000 daripada Innovative Information Ltd melalui akaun di atas nama Barnes di mana semua wang itu adalah hasil daripada aktiviti haram.

Bagi tuduhan ke-14, Musa didakwa atas tuduhan sama menerima AS$406,003.29 daripada Portland Trading Pte Ltd dan bagi tuduhan ke-15, menerima AS$311,332.50 daripada Well Capital Finance Limited melalui akaun di atas nama Barnes di mana wang itu adalah hasilpada dari aktiviti haram.

Bagi tuduhan terakhir iaitu tuduhan ke-16, Musa didakwa cuba untuk membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan mengarahkan Barnes memindahkan semua aset dan kemasukan wang yang akan datang dari akaun di atas nama Barnes ke akaun miliknya di Bank UBS AG Zurich di mana semua aset dan kemasukan wang berkenaan hasil daripada aktiviti haram.

Mengikut tuduhan kedua hingga ke-16, Musa dituduh melakukan perbuatan itu di Bank UBS AG, Central Hong Kong Special Administrative Region of the Republic of China antara 21 Jun 2006 dan 14 Mei 2008.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2019 @ 7:30 AM