ISHAK (kiri) melihat sayur jualan peniaga ketika lawatan kerja ke Pasar Tani Kekal di Pekan. FOTO/ Mohd Rafi Mamat
ISHAK (kiri) melihat sayur jualan peniaga ketika lawatan kerja ke Pasar Tani Kekal di Pekan. FOTO/ Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan melakukan operasi pemutihan peniaga warga asing yang berniaga di 750 pasar tani seluruh negara dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Ishak Ismail berkata, anggota penguat kuasa peringkat negeri sudah diarah melakukan pemeriksaan secara berperingkat sebelum operasi bersepadu dilakukan secara besar-besaran.

Katanya, FAMA tidak akan berkompromi kerana sudah tertakluk dalam syarat yang ditetapkan iaitu warga asing tidak dibenarkan berniaga di pasar tani bagi memastikan peluang peniaga tempatan tidak terjejas.

“Peniaga yang bertindak menyewakan permit tapak perniagaan juga akan dikenakan tindakan tegas yang mana lesen mereka akan dibatalkan serta-merta tanpa kompromi.

“Kita tidak boleh menerima apa juga alasan diberikan pihak terbabit kerana peraturan yang tidak membenarkan pemilik lesen menggunakan pekerja warga asing sudah ditetapkan sejak dahulu,” katanya pada program lawatan kerja ke Pasar Tani Kekal Pekan, hari ini.

Turut sama, Pengarah FAMA Pahang, Rosli Aw Da.

Beliau berkata, kini terdapat kira-kira 68,000 peniaga di 750 pasar tani seluruh negara dengan setiap pasar tani mempunyai antara 60 hingga 80 peniaga yang menjual pelbagai hasil pertanian, perikanan dan makanan.

Ishak berkata, pengguna yang melihat warga asing berniaga atau bekerja di pasar tani diminta melaporkannya kepada FAMA daerah dan negeri bagi tujuan siasatan dan tindakan.

Katanya, kes warga asing berniaga banyak berlaku di pasar borong malah ada juga yang berniaga di luar kawasan pasar tani.

“Saya akan memastikan isu warga asing berniaga dan bekerja di pasar tani dapat diselesaikan tahun ini seperti diarahkan oleh Menteri Pertanian Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub.

“Justeru, saya berharap peniaga pasar tani dapat mematuhi arahan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan.

“Peringatan sudah diberikan dan jangan salahkan FAMA sekiranya lesen berniaga mereka dibatalkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 April 2019 @ 1:59 PM