IBU tunggal merayu kepada anggota polis supaya tidak menyaman anaknya. FOTO Farah Suhaidah Othman
IBU tunggal merayu kepada anggota polis supaya tidak menyaman anaknya. FOTO Farah Suhaidah Othman
Farah Suhaidah Othman


“TOLONGLAH, makcik tak berduit, tak berdaya nak bayar saman anak makcik yang sulung ini,” itu rayuan seorang ibu tunggal selepas anak lelakinya berusia 22 tahun ditahan dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Sultan Nazrin Shah, Ipoh, hari ini.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zainab, 56, itu juga terpaksa bersengkang mata menunggu di Unit Penguatkuasan Trafik di Jalan Chamberlain, sejak jam 4 pagi sebelum merayu polis tidak mengeluarkan saman terhadap anaknya.

Anaknya ditahan polis dalam operasi dijalankan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ipoh bermula jam 12 tengah malam dan berakhir empat jam kemudian.

Zainab berkata, dia baru berhenti kerja selepas syarikat tempat kerjanya ditutup dan hanya menerima pampasan sebanyak RM1,000 yang digunakan untuk menampung kehidupan mereka lima beranak.

“Hari itu baru bayar duit saman trafik di mahkamah berjumlah RM300, hari ini kena tahan lagi, motosikal yang dia bawa itu baru saja beli tetapi dekat tiga bulan tidak bayar sebab dia sudah tidak bekerja.

“Road Tax (cukai jalan) pun tak ada, lesen dia pun sudah mati, dia beritahu makcik dia pergi kafe siber, itu makcik terkejut apabila beritahu ditahan polis,” katanya

Difahamkan, polis tetap mengeluarkan dua saman terhadap anaknya itu sebagai pengajaran supaya anaknya itu tidak lagi mengulangi kesalahannya pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, tujuh lelaki berusia antara 17 hingga 24 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram turut ditahan dalam operasi itu.

Katanya, polis mengeluarkan sebanyak 309 saman atas pelbagai kesalahan selepas menjalankan pemeriksaan terhadap 582 individu dan ujian air kencing dijalankan mendapati sembilan lelaki positif dadah.

Menurutnya, tujuh lelaki yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan lumba haram disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 April 2019 @ 6:18 PM