GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Poliana Ronnie Sidom


JUMLAH pemilih yang layak mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan meningkat lebih 400 kepada 40,218 pengundi berbanding 39,777 pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berdasarkan sumber Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri, jumlah terkini pengundi di kawasan Parlimen Sandakan itu adalah bagi tempoh sehingga Disember tahun lalu dan ia dijangka meningkat apabila mereka yang layak memilih bermula tahun ini didaftarkan.

“Setakat Disember tahun lalu, 40,218 pengundi didaftarkan. Kita jangkakan jumlah ini meningkat apabila mereka yang layak memilih bermula tahun ini didaftarkan,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Pada PRU-14, daripada 39,777 pengundi yang berdaftar di Parlimen Sandakan, cuma 72 peratus atau 28,668 orang yang keluar mengundi.

Sementara itu, peratusan pengundi berdasarkan pecahan kaum dipercayai tidak banyak berubah berbanding PRU-14, dengan pengundi Cina kekal sebagai pemilih terbesar iaitu 49.2 peratus, diikuti Bumiputera Islam sebanyak 43 peratus, manakala 5.7 peratus kaum lain.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof mengemukakan notis kekosongan kerusi Parlimen Sandakan kepada pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu, pada 28 Mac lalu.

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataan media di Putrajaya berkata, SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Jumaat ini bagi membincangkan tarikh penting PRK bagi Parlimen Sandakan.

Tien Fatt, 65, yang juga Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah dan Pengerusi DAP Sabah mempertahankan kerusi Parlimen itu pada PRU-14 dengan memperolehi 19,094 undi selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lim Ming Hoo yang mendapat 8,996 undi.

Pada PRU-13, Tien Fatt merampas kerusi itu daripada Parti Liberal Demokratik (LDP) dengan majoriti 1,088 undi menewaskan bekas Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong yang kemudian menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada PRU-14 dan kini menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang).

From: Thaddius

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 9:15 PM