LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro, sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


PEMANDU pacuan empat roda Toyota Hilux yang ditahan kerana memandu secara berbahaya di lorong kecemasan di Kilometer 262 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat Seremban, sudah diberi jaminan polis, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Azisman Alias berkata, pihak polis juga membuka kertas siasatan berhubung kejadian pada Ahad lalu dan lelaki berusia 38 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam masa terdekat.

“Respon pantas polis terhadap video yang tular itu berjaya menahan lelaki terbabit yang memandu secara berbahaya.

"Lorong kecemasan bukan untuk kenderaan besar kecuali apabila berlaku kecemasan. Contohnya seperti kejadian berkenaan yang membahayakan kenderaan orang lain dan boleh menyebabkan kematian.

Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Azisman Alias. FOTO NSTP
Pengarah Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Datuk Azisman Alias. FOTO NSTP

“JSPT akan mengambil tindakan serius dan tidak akan bertolak-ansur kepada pemandu kenderaan yang melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.

Rakaman video berdurasi 33 saat berkenaan tular di media sosial menunjukkan pikap berkenaan dipandu secara merbahaya dengan memasuki lorong kecemasan dalam kejadian pada 6.20 petang Ahad lalu.

Kejadian menyebabkan penunggang motosikal datang dari arah belakang hilang kawalan sebelum terjatuh ke bahu jalan ketika mengelak daripada melanggar pikap berkenaan.

Difahamkan, kejadian menyebabkan penunggang motosikal berusia 22 tahun berasal dari Segamat, Johor berkenaan luka pada badan dan patah satu jari kaki kirinya.

Berita berkaitan

'Main belasah je pemandu pikap ni....'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2019 @ 11:42 AM