GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


PENUNGGANG motosikal maut digilis beberapa kenderaan dalam kejadian di Kilometer 248.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara, berhampiran Senawang, hari ini.

Dalam kejadian 5.30 pagi, mangsa Mazlan Masripan, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Superintendan Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa menunggang motosikal jenis SYM dalam perjalanan dari Melaka ke Kuala Lumpur.

“Ketika tiba di lokasi, motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas menyebabkan dia terjatuh di atas jalan. Mangsa kemudian dipercayai digilis beberapa kenderaan berdasarkan keadaan badan mangsa.

“Selepas kemalangan itu, sebuah kereta Proton Iswara yang berada di lorong tengah cuba mengelak menyebabkan kenderaannya hilang kawalan dan terbabas merempuh pembahagi jalan.

“Pada masa sama, datang Perodua Kancil dan Honda Jazz turut cuba mengelak menyebabkan dua kenderaan itu terbabas dan bergesel,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ibrahim berkata, pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terbabas ke lorong tengah dan kanan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2019 @ 1:04 PM