SEORANG penunggang motosikal yang dipercayai cuba memotong sebuah treler maut selepas terlanggar kenderaan berat itu. FOTO ihsan Polis
SEORANG penunggang motosikal yang dipercayai cuba memotong sebuah treler maut selepas terlanggar kenderaan berat itu. FOTO ihsan Polis
Ahmad Hasbi


Seremban: Seorang penunggang motosikal maut dalam keadaan mengerikan apabila dilenyek sebuah treler di Kilometer 253.5, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat Senawang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam tadi, mangsa remaja berusia 19 tahun itu turut dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan disahkan maut ke lokasi kejadian oleh anggota paramedik.

"Kemalangan membabitkan tiga kenderaan berlaku di lebuh raya arah selatan. Hasil siasatan mendapati mangsa menunggang motosikal seorang diri dari arah Senawang menghala ke Pedas.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa yang dipercayai sedang menunggang motosikal di lorong paling kanan cuba memotong sebuah treler namun hilang kawalan lalu terbabas melanggar treler itu," katanya.

Beliau berkata, pelanggaran itu menyebabkan mangsa jatuh di atas jalan raya dan digilis treler berkenaan.

"Sebuah kereta Proton Persona dipandu seorang wanita berumur 38 tahun dari arah belakang tidak sempat mengelak dan disyaki terlanggar mangsa terbaring di atas jalan raya.

"Akibat kemalangan, mangsa iaitu penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di seluruh badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu kereta pula tidak mengalami apa-apa kecederaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) bagi tujuan bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Mei 2022 @ 4:01 PM