GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hanneeyzah Bariah Baharin


BURUH mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini, atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun, 13 Mac lalu.

Tertuduh, Azri Ab Rashid, 36, dari Kuala Telemong, Hulu Terengganu, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di rumah di kuarters Klinik Kesihatan di Marang kira-kira 4 petang pada 13 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 30 April ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Mahkamah turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, M Lishantini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam,

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2019 @ 2:03 PM