Hadzlihady Hassan


MASALAH rumah tangga dikesan menjadi punca pertengkaran hingga menyebabkan seorang lelaki warga Amerika Syarikat (AS) sanggup membunuh isterinya sendiri ketika berada di rumah di Lintang Delima 4, Island Glades, Jelutong di sini, kelmarin.

Difahamkan, lelaki berusia 62 tahun itu mempunyai hubungan sulit dengan teman wanitanya yang tinggal di AS.

Hubungan sulit itu dapat dihidu isterinya sebelum mereka pulang ke negeri ini kerana mahu menyambut Tahun Baru Cina pada 19 Januari lalu.

Pasangan terbabit sepatutnya pulang ke AS semalam namun berlaku pertengkaran antara mereka kelmarin kerana si isteri masih tidak berpuas hati dan mempersoalkan hubungan sulit antara suami dan teman wanitanya itu.

Ketiga-tiga mereka dilahirkan di negara ini namun memiliki taraf kerakyatan AS.

Dalam kejadian jam 5 pagi kelmarin, mangsa Chin Geok Hong, 60, disahkan meninggal dunia ketika dibawa suaminya untuk mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimaini Che Awang berkata, mangsa dan suaminya sebelum itu dikatakan bertengkar di rumah mereka jam 2.30 pagi.

“Adik mangsa memberitahu dia mendengar kakaknya menjerit dan kerana bimbang dia mengetuk pintu bilik yang kemudian dibuka abang iparnya.

“Bagaimanapun, abang iparnya memberitahu isterinya itu menjerit kerana dia kurang sihat,” katanya.

Che Zaimani berkata, mangsa dipercayai membunuh isterinya dengan mencekup kedua-dua tangan ke muka wanita terbabit hingga menyebabkan dia sukar bernafas.

“Suspek yang membawa mangsa ke hospital pada mulanya enggan membenarkan doktor melakukan bedah siasat terhadap mayat isterinya itu.

“Bagaimanapun, atas desakan keluarga mangsa, doktor melakukan bedah siasat dan mendapati wanita terbabit meninggal dunia akibat sukar bernafas dan serangan jantung,” katanya.

Menurutnya, polis kemudian menahan suami mangsa dan dia direman selama enam hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut kita menemui kesan calar di kedua-dua tangan suspek dan dia memberitahu kesan terbabit disebabkan mengangkat besi dan menumbuk ‘punching bag’ di gimnasium,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mac 2019 @ 9:00 AM
SUSPEK diiringi anggota polis ke mahkamah.
SUSPEK diiringi anggota polis ke mahkamah.