ANTARA individu yang berkumpul di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi memberi sokongan terhadap tiga individu yang memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia yang turut disertai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), 9 Mac lalu. FOTO oleh Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA individu yang berkumpul di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur bagi memberi sokongan terhadap tiga individu yang memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia yang turut disertai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), 9 Mac lalu. FOTO oleh Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


TIGA lagi individu sudah tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung perhimpunan sempena Hari Wanita Sedunia yang turut disertai golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), 9 Mac lalu.

Tiga individu terbabit hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur, kira-kira jam 2 petang tadi.

Mereka turut diiringi kira-kira 20 individu lain yang berkumpul di depan IPD bagi memberikan sokongan kepada tiga individu terbabit.

Presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (HAKAM) Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili salah seorang daripada tiga individu itu berkata, tiada apa yang salah dilakukan mereka.

“Ini adalah cubaan untuk meracun pemikiran masyarakat, memecahkan perpaduan dan penyatuan, mengklasifikasikan seseorang dengan apa yang mereka fikir dan lain-lain.

“Sedangkan ia adalah jelas demonstrasi aman bagi memperjuangkan hak wanita. Ia adalah sambutan hari wanita peringkat antarabangsa yang disertai oleh banyak pihak di seluruh dunia,” katanya ketika ditemui di depan IPD Dang Wangi tadi,

Selain itu, Nijar mendakwa pihak polis tidak pernah mempertikaikan perhimpunan itu.

“Itu adalah sangat jelas bahawa penganjur sudah menghantar borang pada 16 Februari lalu berhubung perhimpunan itu yang diadakan pada 9 Mac. Tempoh itu adalah lebih daripada 10 hari seperti ditetapkan dalam peraturan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Shaharudin Abdullah, ketika dihubungi mengesahkan tiga individu terbabit sudah tampil memberi keterangan petang tadi.

“Kami akan melengkapkan siasatan dalam masa terdekat dan kertas siasatan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya. Tindakan lanjut terserah kepada mereka (Timbalan Pendakwa Raya),” katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan polis sudah membuka kertas siasatan berhubung penganjuran perhimpunan haram golongan LGBT di ibu kota pada 9 Mac lalu.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dilaporkan berkata pihaknya akan memanggil penganjur acara itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana mengadakan perhimpunan tanpa kebenaran.

Lebih 1,000 orang dikatakan menyertai perhimpunan berkenaan bermula berhampiran kompleks beli-belah Sogo sebelum berarak ke Masjid Jamek.

Difahamkan, ia disertai beberapa badan bukan kerajaan (NGO) antaranya Women’s Aid Organization (WAO), Sisters In Islam (SIS), aktivis serta pelajar.

Perhimpunan juga didakwa disertai penyokong LGBT yang antara lain membawa bendera warna pelangi selaku simbol golongan terbabit.

Antara perkara yang dituntut mereka pada perhimpunan itu adalah menghapuskan diskriminasi jantina, menghentikan keganasan terhadap wanita dan kesaksamaan gender.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2019 @ 6:23 PM