Muhaamad Hafis Nawawi


PRESIDEN Urusetia Menangani Gejala Sosial (UNGGAS) Kamaruddin Kassim mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana bertindak pantas menutup operasi pusat tahfiz terbabit.

Kamaruddin berkata, usahanya selama ini mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah Datuk Dr Ismail Salleh bagi mendedahkan kepincangan pusat tahfiz terbabit berhasil.

Katanya, kebenaran akhirnya muncul jua selepas tindakan yang diambil kerajaan negeri ke atas pusat tahfiz terbabit.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana bertindak segera menutup pusat tahfiz terbabit yang cuba mengeksploitasi pelajarnya.

“Hasil pertemuan itu, exco terbabit mengadakan pertemuan dengan agensi kerajaan termasuk JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) untuk mengambil tindakan ke atas pusat tahfiz terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau juga berasa lega dengan arahan kerajaan negeri itu kerana selama ini dirinya difitnah mengada-adakan cerita berkaitan masalah pusat tahfiz terbabit.

Harian Metro hari ini melaporkan kerajaan negeri mengarahkan pusat tahfiz amal di Sungai Petani ditutup selepas ia beroperasi secara haram termasuk dipercayai mengeksploitasi pelajarnya untuk mengutip derma.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC) Kedah Datuk Dr Ismail Salleh berkata, arahan itu dikeluarkan berikutan siasatan mendapati pusat pengajian itu tidak berdaftar mengikut Seksyen 5 Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007.

Selain itu, katanya, ia turut dipercayai beroperasi sebagai pusat rawatan amal serta menggunakan taktik licik menipu pihak berkuasa dan orang ramai untuk mengaut keuntungan.

Berita berkaitan:

  • Pusat tahfiz eksploitasi pelajar diarah tutup
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2019 @ 6:30 PM