LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Shamsul Munir Safini


TIGA suspek dera dan kurung wanita warga emas berusia 64 tahun di Flat Desa Wawasan Rabu lalu dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kesemua mereka termasuk dua wanita berusia 28 hingga 35 tahun dibebaskan selepas mendapatkan rawatan psikiatri dari Hospital Bukit Mertajam (HBM).

Katanya, pihaknya juga sedang menyiapkan kertas siasatan berhubung kes itu dan akan menyerahkannya kepada pejabat pendakwa negeri dalam tempoh terdekat.

“Kita masih menyiasat kes ini, dan perlu melihat beberapa sudut berhubung kes dan ia masih disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Polis juga sudah mengambil keterangan daripada semua pihak termasuk jiran, saudara mereka dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurutnya, mangsa yang juga ibu suspek masih mendapatkan rawatan di HBM dan pihak JKM akan menentukan tindakan seterusnya ke atas mangsa.

Dalam kejadian Rabu lalu, mangsa ditemui cedera dan lebam di seluruh badan dipercayai didera dua anak kandung dan menantunya di Flat Desa Wawasan 1, Bukit Mertajam.

Wanita malang berkenaan hanya berkain batik ditemui penduduk selepas dia cuba keluar melalui pintu jeriji besi rumahnya yang dikunci.

Mangsa yang dirawat doktor selepas diselamatkan didapati cedera di kepala dan luka serta lebam di seluruh badan, selain dikhuatiri mengalami cedera patah lama pada anggota badan dipercayai didera.

Susulan itu polis menahan dua anak kandungnya masing-masing seorang lelaki dan perempuan berusia 32 dan 35 tahun serta menantu perempuannya berusia 28 tahun.

Berita berkaitan

''Ibu mungkin didera sejak empat bulan lalu''

'Kurung, pukul ibu dengan kayu [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Mac 2019 @ 9:19 PM