Shamsul Munir Safini


ANGKARA terlebih dos pil tidur kerana ketagihan drama Korea dan permainan video, pelajar Tingkatan Empat cedera selepas terjun daripada tingkat dua bangunan sekolahnya di Bukit Mertajam, semalam.

Kejadian itu berlaku 9.45 pagi tetapi hanya dilaporkan kepada polis 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, kejadian itu disahkan pengetua sekolah selepas dia dimaklumkan guru kelas pelajar berusia 16 tahun berkenaan.

"Ketika kejadian, pengetua sekolah sedang meronda di dalam kawasan sekolah sebelum dimaklumkan bahawa mangsa terjun dari tingkat dua bangunan di sekolah itu.

"Pelajar perempuan itu bernasib baik kerana jatuh di tanah yang agak lembut, sebelum dia dibantu dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam (HBM)," katanya.

Menurutnya, pelajar perempuan berkenaan tidak mempunyai rekod disiplin sekolah dan tidak menghidap sebarang penyakit mental.

Nik Ros Azhan berkata, doktor yang merawat mangsa melaporkan bahawa pelajar berkenaan mengalami kecederaan di bahagian tulang belakang.

Katanya, keluarga mangsa meminta agar dia dikeluarkan dari HBM bagi mendapat rawatan di hospital swasta di Georgetown.

"Doktor yang merawat mangsa juga memberitahu bahawa tindakan yang diambil oleh pelajar berkenaan adalah kerana pengambilan pil tidur yang berlebihan namun keadaannya stabil.

Nik Ros Azhan berkata, berdasarkan keterangan ibu mangsa, pelajar berkenaan mengalami masalah insomnia sejak dua hingga tiga bulan lalu dan mendapat rawatan psikiatri, baru-baru ini.

"Doktor yang merawatnya ketika itu memberikannya pil tidur dan pil anti tekanan (anti-depressant).

"Ibu saudara yang menjaga pelajar berkenaan memberitahu bahawa pagi kejadian mangsa mengambil enam pil tidur kerana dia tidak dapat tidur, hasilnya dia bertindak terjun kesan daripada pengambilan pil tidur yang berlebihan, dan bukan cubaan bunuh diri," katanya

Nik Ros Azhan berkata, ibu saudara mangsa juga memberitahu bahawa anak saudaranya itu sering tidak tidur hingga awal pagi kerana obses dengan drama dan artis Korea serta ketagih dengan permainan video.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 2:35 PM