USAH takutkan ibu bapa dengan kesan pengambilan vaksin yang terlalu kecil.
USAH takutkan ibu bapa dengan kesan pengambilan vaksin yang terlalu kecil.
Suraya Roslan dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Kesan sampingan pengambilan vaksin memang wujud namun jumlahnya terlalu kecil dan tidak harus dijadikan modal untuk memanipulasi pemikiran atau menakut-nakutkan ibu bapa.

Pakar Perubatan Keluarga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Dr Suhazeli Abdullah berkata, kebanyakan kejadian kesan advers berikutan pelalian (AEFI) hanya membabitkan ruam, demam dan sakit di tempat suntikan yang sebenarnya boleh dirawat.

“Jika anak-anak didapati mengalami AEFI sila dapatkan rawatan di tempat tepat bukannya secara alternatif lain yang tidak mempunyai bukti kesahihannya.

“Bagi kanak-kanak yang mengalami AEFI yang terlalu amat jarang berlaku seperti pengsan, menangis tanpa henti, sawan dan tidak bermaya, cukup sekadar ibu bapa dinasihati datang kembali ke klinik.

“Percayalah kepada kepakaran doktor dan jururawat, malah sepanjang khidmat saya 22 tahun dalam bidang perubatan, tidak pernah berlaku kes yang jarang itu. Mungkin ada tidak dinafikan namun cuma sebilangan kecil,” katanya.

Menurutnya, vaksin juga bukan penyebab ekzema kerana ia adalah penyakit genetik.

“Ini dibuktikan dengan kajian dibuat di seluruh dunia mendapati ekzema tiada kaitan dengan suntikan vaksin yang diberikan.

“Namun, tidak dinafikan ada sesetengah kes, ekzema yang sedia ada dalam tubuh kanak-kanak itu akan timbul selepas di vaksin.

“Tetapi ia masih boleh dirawat dan tanda-tandanya akan hilang apabila mereka meningkat dewasa,” katanya.

Katanya, untuk rekod statistik daripada lebih 6.9 juta dos vaksin yang diberikan tahun lalu hanya kira-kira 1,300 kesan sampingan saja dicatatkan.

“Jumlah ini bersamaan 0.02 kes dalam 100 dos,” katanya.

Dr Suhazeli berkata, kandungan vaksin juga tidak harus menjadi pertikaian berikutan 10 jenis vaksin di bawah KKM bebas dari asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir.

“Memang terdapat vaksin yang diperoleh dari tempat pembiakan kuman yang sebelum dilemahkan itu mengandungi khinzir, tetapi KKM tidak mengimport untuk kegunaan premis kesihatan kerajaan.

“Malah, mereka yang menuduh vaksin mengandungi logam berat seperti raksa dan aluminium penyebab kepada autisme sebenarnya merujuk kajian dibuat oleh Andrew Wakefield (1998) yang terbatal dengan sendirinya.

“Ia dimanipulasikan supaya orang ramai takut untuk mengambil vaksin. Begitu juga dengan aluminium, kajian yang dijalankan tiada pun kaitan dengan neurotoksin,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 6:00 AM