KEBAKARAN sebuah rumah di Kampung Tayor Tengah, Setiu, menyebabkan tujuh sekeluarga hilang tempat tinggal. FOTO Ihsan Pembaca
KEBAKARAN sebuah rumah di Kampung Tayor Tengah, Setiu, menyebabkan tujuh sekeluarga hilang tempat tinggal. FOTO Ihsan Pembaca
Hanneeyzah Bariah Baharin


TUJUH sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas dua kediaman musnah dalam kebakaran di Kampung Tayor Tengah, dekat Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Nenas, Sungai Tong, Setiu, petang hari ini.

Kejadian kira-kira 4.45 petang itu menyebabkan Zaleha Abdullah, 56, yang tinggal bersama anak lelakinya, Azni Ismail, 43, serta kediaman bersebelahan yang didiami anak perempuannya, Suhaila bersama empat lagi ahli keluarga, musnah sama sekali.

Anak Zaleha, Azli, 42, berkata, ketika kejadian, ibunya keluar ke kebun di kawasan berhampiran, manakala abangnya, Azni keluar bekerja.

“Ketika kejadian keluarga adik perempuan yang tinggal di rumah bersebelahan tiada di rumah kerana pulang ke rumah mentuanya di Kelantan.

“Kejadian turut menyebabkan wang simpanan ibu daripada hasil kebun yang dikumpul dan barangan kemas yang disimpannya musnah dijilat api.

“Bagaimanapun, kami tetap bersyukur kejadian tidak mengakibatkan kemalangan jiwa. Walaupun sedih dengan apa yang berlaku, kami reda,” katanya yang tinggal di Kampung Bukit terletak bersebelahan.

Azli berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian ketika dalam perjalanan untuk mengambil anaknya di sekolah berhampiran menaiki motosikal.

“Ketika dalam perjalanan menjemput anak di sekolah, saya terserempak dengan jiran ibu dan dia memaklumkan rumah ibu terbakar.

“Saya bergegas ke sana dan sedih melihat sebahagian besar rumah sudah musnah dijilat api.

“Api terlalu cepat marak kerana cuaca panas dan kering dan saya tidak sempat menyelamatkan apa-apa.

“Kasihan melihat ibu yang sedih apabila barangan kemas dan wang simpanannya lenyap sekelip mata,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Pegawai Bomba Kanan I Mohd Nasir Jaafar berkata, kejadian turut menyebabkan sebuah lagi kediaman milik besan Zaleha terbakar lima peratus dan tindakan pantas bomba berjaya mengawal api daripada merebak.

Katanya, pihaknya menerima panggilan 5 petang sebelum 18 pegawai dan anggota dari BBP Setiu dan Kuala Nerus dikejarkan ke lokasi kejadian bersama tiga jentera.

“Punca kejadian masih dalam siasatan, bagaimanapun kita tidak menolak ia berlaku akibat litar pintas. Kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 9:52 PM