Lelaki yang dipercayai menghidap masalah mental ditahan polis di rumahnya hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Lelaki yang dipercayai menghidap masalah mental ditahan polis di rumahnya hari ini. FOTO Ihsan Pembaca
Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI warga emas yang dipercayai menghidap masalah mental ditahan polis hari ini selepas dikatakan mengancam keselamatan wanita di Taman Gunung Mas, Tampin.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, lelaki berusia 65 tahun itu ditahan di rumahnya di taman perumahan sama jam 4 petang.

“Polis menerima laporan daripada wanita mendakwa keretanya dicalar lelaki itu dan dilihat berkeliaran di kawasan perumahan itu dengan membawa pisau, Ahad lalu.

“Berikutan itu, polis menjalankan siasatan dan cuba mengesannya pada hari sama tetapi dia menghilangkan diri. “Kita berjaya menahannya petang tadi untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ramli berkata, tindakan lelaki itu membawa pisau dan mengganggu ketenteraman menyebabkan polis terpaksa mengambil tindakan menahannya kerana dikhuatiri mengancam keselamatan orang awam.

Beliau berkata, lelaki terbabit dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu tular di laman sosial Facebook sejak semalam sehingga ada yang mendakwa sering melihat lelaki itu berkeliaran membawa pisau di sekitar kawasan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 6:26 PM