PEJALAN kaki yang menjadi mangsa langgar lari di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Gombak. FOTO ihsan polis
PEJALAN kaki yang menjadi mangsa langgar lari di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh dekat Gombak. FOTO ihsan polis
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Mayat lelaki dipercayai mangsa langgar lari ditemukan di Kilometer 15 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat sini, awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu jam 2 pagi tadi.

"Kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa berjalan dari arah Kuala Lumpur menghala Rawang melalui laluan bertentangan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai dilanggar lari sebuah kenderaan yang tidak dapat dikenal pasti.

"Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Ariffin berkata, mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Selayang untuk bedah siasat.

"Siasatan mendapati tiada kesan tayar ditemukan dan terdapat serpihan kenderaan berwarna biru di lokasi kejadian. Pemeriksaan dilakukan terhadap mangsa juga tidak menemui sebarang dokumen," katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Dzulhafizie Abd Rasid di talian 013-7465469.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Julai 2021 @ 4:45 PM