Helmi (tengah) menunjukkan dadah dibungkus seperti serbuk minuman ketika mengadakan sidang media di IPK Kedah. FOTO Amran Hamid
Helmi (tengah) menunjukkan dadah dibungkus seperti serbuk minuman ketika mengadakan sidang media di IPK Kedah. FOTO Amran Hamid
Zuliaty Zulkiffli


BENTUK pembungkusannya seperti serbuk minuman coklat panas segera, namun sebenarnya mengandungi dadah jenis methamphetamine dan ketamin dianggarkan berat 2,135.06 gram dirampas bersama beberapa jenis dadah lain.

Dadah itu ditemui sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah ketika serbuan di sebuah rumah di Taman Seri Puyu, Jalan Suka Menanti, Alor Setar, jam 9 malam kelmarin.

Ketua JSJN Kedah, Superintendan Helmi Aris berkata, dalam operasi itu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30 tahun yang ketika itu sedang berdiri di hadapan rumah berkenaan.

Beliau berkata, polis kemudian melakukan pemeriksaan terhadap lelaki itu tetapi tidak menemui apa-apa.

“Pemeriksaan lanjut kemudian menemui beg plastik kanvas berzip hijau di lantai ruang tengah rumah disyaki mengandungi satu paket plastik lutsinar disyaki dadah jenis ketamin dianggarkan seberat satu kilogram.

“Selain itu, kita turut menemui sembilan plastik lutsinar yang setiap satunya mengandungi 99 pil dan sepaket plastik berisi 88 pil disyaki Esctacy dengan jumlah keseluruhannya 979 biji,” katanya pada sidang media di Bilik Media, IPK Kedah, hari ini.

Helmi berkata, turut dirampas 25 paket plastik berwarna merah jambu disyaki mengandungi dadah methamphetamine dan ketamin yang dianggarkan 1,067.53 gram.

Beliau berkata, turut ditemui 25 paket plastik ungu bertulisan ‘Tie Guan Yin’ disyaki dadah methamphetamine dan ketamin dianggarkan seberat 1,025.01 gram.

“Rampasan membabitkan 50 paket dadah ditemui dalam bungkusan minuman coklat adalah kali pertama berlaku di negeri ini dan hasil siasatan mendapati, semua dadah dipercayai untuk pasaran pusat hiburan sekitar negeri ini.

“Kita percaya suspek menggunakan helah bungkusan coklat minuman hanya untuk mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan dadah berkenaan dan setiap paket dadah dijual pada harga RM160,” katanya.

Helmi berkata, pihaknya percaya suspek adalah pengedar, namun masih dalam siasatan polis.

Beliau berkata, lelaki yang bekerja sebagai pembantu kedai kopi itu ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati dia positif ketamin.

“Semua dadah dirampas berjumlah RM343,176 dan polis turut menyita sebuah kereta Mercedes Benz bernilai lebih RM200,000.

“Suspek direman mulai 17 Februari hingga 23 Februari depan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Februari 2019 @ 5:58 PM