Khairy ketika sidang media di Lavender Heights, Seremban. Gambar kecil adalah rakaman video insiden serangan terhadap Syed Saddiq yang tular di media sosial. FOTO Hazreen Mohamad
Khairy ketika sidang media di Lavender Heights, Seremban. Gambar kecil adalah rakaman video insiden serangan terhadap Syed Saddiq yang tular di media sosial. FOTO Hazreen Mohamad
Raja Noraina Raja Rahim


BEKAS Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyifatkan insiden serangan terhadap Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih semalam, adalah kesalahan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, serangan yang dilakukan penyokong Barisan Nasional (BN) dan menghamburkan kata-kata kesat adalah tidak wajar, namun tindakan Syed Saddiq juga seolah-olah cuba mencetuskan provokasi.

Menurutnya, beliau menyedari berlaku insiden serangan ketika berada di dalam kenderaan untuk pulang selepas proses penamaan calon selesai, tetapi hanya mengetahui insiden itu membabitkan Syed Saddiq dan penyokong BN selepas dimaklumkan rakan parti.

“Saya lihat video kejadian dan tanya rakan yang berada di situ ketika kejadian, memang apa dibuat segelintir penyokong BN dengan menjerit kata-kata kesat terhadap menteri memang tidak patut. Kita seharusnya mengamalkan etika politik yang tinggi.

“Apabila ini berlaku (serangan terhadap menteri) dalam apa jua keadaan ia tidak boleh dipertahankan,” katanya pada sidang media, hari ini.

Bagaimanapun, Khairy berkata, tindakan menteri itu juga dilihat seolah-olah provokasi kerana menggunakan laluan dikhaskan kepada penyokong BN dan Parti Sosialis Malaysia oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita sudah diberitahu awal oleh SPR dan polis ada dua laluan penyokong iaitu untuk penyokong Pakatan Harapan (PH) dan satu lagi laluan untuk penyokong BN dikongsi parti sosialis, dua tempat berbeza supaya boleh berarak ke pusat penamaan calon dari arah berbeza.

“Dua laluan diberi SPR itu untuk elak lalu kawasan parti lawan tetapi dia (Syed Saddiq) lalu juga, itu provokasi dan tidak mengikut saranan SPR,” katanya.

Semalam, tular video suasana kecoh di kawasan penamaan calon di Dewan Seri Cempaka apabila Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dikerumuni penyokong BN.

Malah, susulan kejadian itu, Syed Saddiq turut membuat satu laporan di Balai Polis Kajang sebelum membuat laporan susulan di Balai Polis Sungai Way, 2 petang.

Syed Saddiq mendakwa dicaci dan dimaki sekumpulan penyokong yang memakai baju BN ketika berjalan ke tempat letak kenderaan pada 11.05 pagi selepas penamaan calon PRK DUN Semenyih.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Februari 2019 @ 6:52 PM