LAPORAN portal Harian Metro semalam.
LAPORAN portal Harian Metro semalam.
Mohd Sabran Md Sani


PEMANDU lori berusia lingkungan 30-an yang terbabit kemalangan hingga meragut nyawa empat beranak di Kilometer 55, Jalan Kluang-Kota Tinggi, direman selama tiga hari bermula semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Ahsmon Bajah berkata, perintah itu dibenarkan Mahkamah Majistret Kota Tinggi bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Permohonan reman dibenarkan selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Kota Tinggi bermula semalam hingga esok.

“Ujian saringan air kencing terhadap pemandu lori itu mendapati dia negatif daripada gejala dadah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Akhbar melaporkan, suami isteri bersama dua anaknya maut dalam kemalangan jalan raya selepas kereta yang dipandu bertembung dengan lori dalam kejadian di Kilometer 55 Jalan Kluang - Kota Tinggi, kelmarin.

Mangsa, Mohd Firdaus Januri, 34, dan isterinya Norlia Osman, 33, bersama dua anak mereka iaitu Muhammad Adli Mohd Firdaus, 6, dan Nur Dalili Mohd Firdaus, 4, maut di tempat kejadian.

Dalam kejadian terbabit, empat beranak yang menaiki kereta jenis Honda Civic meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu sebuah lagi kereta jenis Proton Saga hanya mengalami luka sahaja.

Siasatan awal punca kejadian dipercayai disebabkan oleh pemandu lori yang dikatakan gagal mengawal kenderaan seterusnya memasuki laluan bertentangan.

Ia menyebabkan pertembungan secara berhadapan.

Berita berkaitan

[UPDATE] Disemadi dalam satu liang lahad [METROTV]

‘Rindu telatah anak saudara

Keluarga, rakan mangsa 'berkampung' di hospital

'Jumpa lagi esok...'

[UPDATE] 20 minit keluarkan pemandu tersepit

Empat beranak ajal bersama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 10:21 PM