PENGHUNI Rumah Singgah Kita, Sue, 31 bersama anaknya di Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
PENGHUNI Rumah Singgah Kita, Sue, 31 bersama anaknya di Ipoh. FOTO Abdullah Yusof
Balqis Jazimah Zahari


AKIBAT tidak tahan dengan penderaan fizikal dan emosi yang dilakukan suami selama beberapa tahun, wanita nekad melarikan sebelum diselamatkan badan bukan kerajaan dan kemudian ditempatkan DI rumah perlindungan dikenali Rumah Singgah Kita (RSK), di Silibin dekat Ipoh.

Hanya mahu dikenali sebagai Sue, wanita berusia 31 tahun ini berkata, tidak tahan dengan penderaan fizikal dan emosi yang keterlaluan, dia nekad meninggalkan suaminya yang sudah dinikahi sejak empat tahun lalu bersama anaknya yang berusia dua tahun.

“Setiap hari saya bersabar dan ingat dia boleh berubah tetapi semakin hari semakin teruk.

“Suami seorang pemabuk yang tidak bertanggungjawab serta mengabaikan nafkah diri dan anak, hampir setiap hari pulang ke rumah dalam keadaan mabuk, kami bergaduh dan dia akan mula memaki hamun saya dengan menggunakan bahasa kesat.

“Setiap bulan mesti ada satu masa yang dia akan mengamuk dengan teruk secara tiba-tiba dan sampai satu tahap dia pernah menggertak saya menggunakan pisau,” katanya ketika ditemui di rumah perlindungan berkenaan di sini.

Berasal daripada Terengganu dan menetap di rumah mentua di Sungai Siput, Sue berkata, akibat perbuatan suaminya yang tidak mempedulikan keluarga, segala perbelanjaan dirinya bersama dua anaknya ditanggung ibu mentua.

Katanya, tidak cukup dengan itu dia yang bekerja sebagai jurujual di pasar raya, terpaksa berhenti berhenti kerja kerana setiap bulan semua gaji terpaksa diserah kepada suaminya untuk membeli minuman keras.

“Sudah lama saya bertahan dan macam-macam perkara pahit yang saya lalui. Demi anak, saya nekad membawa diri, hinggalah dibantu badan bukan kerajaan,” katanya.

Katanya, ketika melarikan diri, dia tiada arah tuju, tidak ada wang di tangan dan berada dalam keadaan buntu, namun dia bersyukur dipertemukan dengan individu yang akhirnya membantunya mendapatkan perlindungan.

Dia berkata, individu terbabit membawanya ke pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan seterusnya ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membuat laporan sebelum akhirnya ditempatkan di RSK.

Katanya, buat sementara waktu, dia bersama anak berteduh di bawah RSK dan mahu untuk mencari pekerjaan bagi memastikan masa depan anaknya terjamin.

“Sudah seminggu di sini dan saya berasa lebih tenang, selepas ini saya mahu bekerja supaya saya dapat kehidupan yang lebih stabil dan dapat membesarkan anak dengan lebih baik,” katanya.

Selain Sue, RSK juga turut menempatkan kira-kira 30 penghuni lain termasuk dua anak kecil berusia tujuh tahun yang ditempatkan di rumah perlindungan itu kerana ibu bapa mereka adalah penagih dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 2:19 PM