RAMAI wanita Myanmar yang didera masih bimbang untuk buat aduan polis.
RAMAI wanita Myanmar yang didera masih bimbang untuk buat aduan polis.
UNDANG-undang yang ada tidak memihak kepada wanita mangsa dera.
UNDANG-undang yang ada tidak memihak kepada wanita mangsa dera.
KUASA ‘veto’ suami dan keluarga mentua menindas hak wanita untuk bersuara.
KUASA ‘veto’ suami dan keluarga mentua menindas hak wanita untuk bersuara.
HANYA sebilangan kecil wanita yang didera berani menuntut perceraian dan meninggalkan rumah.
HANYA sebilangan kecil wanita yang didera berani menuntut perceraian dan meninggalkan rumah.
Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin


Selepas hampir satu dekad didera dan dicerca, akhirnya Phyu Phyu mengambil keputusan nekad meninggalkan suaminya - satu tindakan yang jarang dilakukan oleh wanita Myanmar.

Phyu Phyu, 38, yang bekerja sebagai akauntan di Majlis Perbandaran Thingangyun di Yangon tidak tahan dengan layanan buruk suami dan keluarga mentuanya.

Rahsia yang dipendam selama ini akhirnya dibuka satu persatu dan Phyu memberitahu penderaan itu bermula apabila suami dan ibu bapa mentua memaksanya berhenti kerja dan menjadi suri rumah membesarkan anak.

Bertahun-tahun lamanya, Phyu - yang meminta nama sebenarnya dirahsiakan atas faktor keselamatan - memendam perasaan dan cuba bertahan walaupun dimarahi setiap hari selain sering dipukul. Namun ketika itu dia berasakan dirinya amat lemah dan tidak bersedia meninggalkan keluarganya.

Walaupun ia peristiwa yang menyedihkan, setakat ini Myanmar tidak mempunyai undang-undang mencegah wanita daripada menjadi mangsa penderaan rumah tangga atau rogol dalam perkahwinan. Tindakan pencegahan yang dilakukan biasanya bermula apabila mangsa membuat aduan.

Tetapi kini aktivis hak asasi wanita giat menjalankan kempen mengubah keadaan yang mengecewakan itu. Kempen berkenaan diadakan bagi menyedarkan masyarakat selain diharap menjadi

laluan supaya peraturan sedia ada dapat diubah sebelum kerajaan memberikan wanita lebih ‘kuasa’ untuk keluar daripada belenggu penderaan domestik.

“Saya pernah dipukul dengan kaca. Badan saya lebam dan luka di dahi. Paling tidak dapat dilupakan apabila saya dipukul dengan batang paip besi yang menyebabkan tangan saya patah,” kata Phyu kepada wakil Myanmar Now, satu laman web bebas yang mendapat sokongan Thompson Reuters Foundation.

“Saya masih bimbang anak perempuan saya dilabel ‘tiada bapa’. Namun kini selepas bercerai, hidup saya lebih tenang. Saya sudah bebas daripada penderaan,” kata Phyu.

Aktivis berkata, Phyu salah seorang daripada ramai wanita Myanmar yang berdepan dengan halangan budaya dan perundangan untuk membebaskan diri daripada ikatan perkahwinan yang penuh penderitaan seperti itu. Bahkan, undang-undang yang ada juga tidak memihak kepada mereka meskipun bukti penderaan terpapar jelas di depan mata.

Penganiayaan terhadap wanita dan remaja perempuan sama ada rogol atau keganasan biasanya dilindungi oleh budaya mendiamkan diri dan jarang sekali mangsa tampil membuat aduan polis. Lebih menyedihkan kata aktivis, aduan keganasan ini terutama yang berlaku di dalam rumah biasanya jarang diambil tindakan kerana dianggap sebagai hal keluarga.

Thida Myint, Timbalan Pengarah Women Network di Irrawaddy, satu badan bukan kerajaan yang aktif menjalankan aktiviti meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai keganasan domestik berkata, tidak mudah untuk petugas badan berkenaan meyakinkan wanita supaya tidak pasrah dengan penderaan yang dilakukan suami mereka. Mereka sebenarnya boleh mendapatkan bantuan dan perlindungan undang-undang.

“Kebanyakan wanita tidak pernah mendedahkan penderaan yang mereka alami. Mereka melihatnya sebagai satu perkara biasa,” katanya.

Hantar balik mangsa

Badan NGO itu beroperasi di 30 kampung dan menawarkan bantuan untuk wanita yang mahu bercerita mengenai penderaan, mendapatkan bantuan perceraian atau membuat aduan polis.

Tetapi sejak program itu dimulakan pada 2014, ia hanya berjaya membantu 10 wanita memfailkan aduan jenayah atau membantu mereka mendapatkan perceraian.

Menurut Thida Myint, wanita yang bercadang memfailkan perceraian biasanya berdepan dengan halangan daripada suami dan ahli keluarga mereka, sementara pihak berkuasa pula meminta bukti penderaan sebelum meluluskan tuntutan dan mengesahkan perceraian.

Kata aktivis, memfailkan aduan jenayah penderaan fizikal dalam perkahwinan bukanlah mudah. Ini kerana pihak polis biasanya lebih suka kaedah pencegahan komuniti dan akan memberitahu mangsa supaya meminta bantuan ketua kampung untuk menyelesaikan masalah dengan suami mereka.

Pegawai polis dari Balai Polis Perbandaran Kyauktada di Yangon, Zaw Min Naing mengakui pihak polis akan menjemput ahli keluarga (saudara-mara), orang tua yang dihormati atau ketua kampung untuk menjadi orang tengah atau perantara bagi kes dakwaan keganasan domestik atau rogol dalam perkahwinan.

Berdasarkan soal selidik pada 2014 di Myanmar yang dijalankan oleh ActionAid, satu NGO antarabangsa mendapati kaedah ‘pencegahan peringkat komuniti’ terhadap kes keganasan ke atas wanita biasanya melindungi si pelaku dengan hanya memberi ‘peringatan’ kerana berkelakuan buruk dan mangsa pula diberikan wang pampasan saja.

Pengarah Rangkaian Kesaksamaan Gender, May Sabe Phyu pula berkata, sikap masyarakat dan prosedur polis perlu diubah supaya wanita mendapat perlindungan sewajarnya. Win Win Khaing, aktivis daripada kumpulan hak asasi wanita Akhaya berpendapat, sikap lelaki terhadap wanita menjadi punca utama kepada kes penderaan yang berleluasa di Myanmar.

“Keganasan domestik tidak akan berhenti selagi suami menganggap dia mempunyai kuasa sepenuhnya dalam rumah tangga,” katanya.

Undang-undang di Myanmar mengenakan hukuman terhadap pesalah kes rogol dan penderaan seksual, tetapi dek banyaknya kes yang berlanjutan terlalu lama dan rasuah dalam penghakiman sering menjejaskan penguatkuasaan undang-undang serta melemahkan semangat mangsa membuat aduan.

Sehingga kini, tiada undang-undang yang membolehkan wanita mendapatkan perintah perlindungan supaya si pelaku tidak mendekati mangsa. Kanun Jenayah Myanmar juga tidak merujuk kepada rogol dalam perkahwinan walaupun ia menyatakan seseorang lelaki itu dikatakan merogol jika persetubuhan berlaku tanpa persetujuan wanita.

Peguam di Yangon, Min Thet Zin yang sudah membantu mangsa penderaan domestik berkata, kekurangan perlindungan undang-undang ditambah dengan sikap konservatif masyarakat bermakna jumlah sabitan kes boleh dikira.

Sejak 2014, NGO bekerjasama dengan Kementerian Kebajikan Sosial, Bantuan dan Penempatan Semula sedang merangka draf untuk Pencegahan Keganasan Kebangsaan terhadap Wanita yang pertama di negara itu, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada ia turut menyebut mengenai rogol dalam perkahwinan. Kini menunggu kerajaan untuk memuktamadkan draf berkenaan.

Than Than Win, 35, dari Kyauktada yang meminta nama sebenarnya dirahsiakan berkata, dia mahu ‘lari’ daripada suami kaki dera, tetapi tidak berani memohon perceraian atau membuat aduan polis.

“Setiap kali dia marah, dia akan memukul saya. Dia juga mengancam mendera anak kami jika saya buat aduan polis,” kata ibu kepada tiga anak itu sambil menangis.

Timbalan Pengarah di Jabatan Hal Ehwal Pekerja di The 88 Generation Peace and Open Society, Thet Thet Aung berkata, kes yang didedahkan baru-baru ini menunjukkan kebimbangan mangsa dera adalah perkara yang perlu dipandang serius.

Awal tahun ini, Aye Thander, 42, membuat aduan polis penderaan domestik terhadap suaminya di Balai Polis Daerah Dala di Yangon. Pada 5 Julai, sebaik dia meninggalkan mahkamah selepas prosiding pertama, dia ditikam hingga mati di leher, menurut polis Dala. Seorang lelaki ditangkap di tempat kejadian.

“Insiden ini menakutkan ramai wanita di Yangon untuk mengambil tindakan atau melaporkan keganasan suami mereka,” kata Thet.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 2:12 PM