Anggot bomba membantu mengeluarkan mangsa yang rentung selepas kereta BMW dinaiki terbakar selepas kemalangan di Kilometer 6.9 Lebuhraya Kajang SILK, Kajang, tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Anggot bomba membantu mengeluarkan mangsa yang rentung selepas kereta BMW dinaiki terbakar selepas kemalangan di Kilometer 6.9 Lebuhraya Kajang SILK, Kajang, tadi. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Hafidzul Hilmi Mohd Nor dan Nurul Hidayah Bahaudin


ANGGOTA bomba mengambil masa lebih dua jam bagi mengeluarkan mayat tiga mangsa yang rentung berikutan kedudukan kereta yang terbabas berhampiran cerun bukit sedalam 100 meter.

Dalam kejadian jam 5 petang tadi, kereta model BMW dinaiki mangsa terbakar sejurus terbabas di Kilometer 6.9, Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK), Kajang, Selangor.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussien Onn, Mohamad Akmal Mohamad Khairi berkata, pihaknya mengambil masa beberapa minit bagi memadamkan kebakaran kereta itu sebaik tiba di lokasi.

“Selepas api berjaya dipadamkan, kami menggunakan khidmat trak tunda untuk mengalihkan kereta itu yang berada berhampiran cerun selepas merempuh besi penghadang lebuh raya.

“Kami mengambil langkah untuk menstabilkan kereta itu dengan menariknya ke tepi sebelum mengeluarkan mangsa memandangkan lokasi itu berisiko kerana terdapat kawasan curam,” katanya ketika ditemui, di lokasi kejadian.

Mohamad Akmal berkata, pihaknya terpaksa memotong bahagian pintu pemandu dan penumpang di bahagian depan serta belakang selain bahagian tengah.

Tindakan memotong bahagian-bahagian terbabit bagi membolehkan ketiga-tiga mangsa dikeluarkan dengan lebih mudah.

“Ketika ditemui, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terlentang. Berdasarkan keterangan awal pihak peronda, kereta dipandu mangsa melanggar besi penghadang jalan sebelum bahagian depan kereta itu terbakar.

“Ketiga-tiga mangsa yang tersepit di dalam kenderaan itu tidak sempat menyelamatkan diri sebelum ditemui rentung di dalam kenderaan terbabit akibat kebakaran,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata,

kemalangan berlaku apabila kenderaan terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri menyebabkan kereta itu terbakar.

Dia berkata, mayat ketiga-tiga mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sedang untuk bedah siasat dan mendapatkan sampel DNA (asid deoksiribonukleik) bagi mengenal pasti identiti mereka.

“Salah seorang daripada mangsa dikenal pasti sebagai seorang wanita warga emas berusia 65 tahun berasal dari Taman Anggerik Emas, di sini.

“Pada masa sama, kereta itu dibawa ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk pemeriksaan nombor casis kenderaan dan pemeriksaan PUSAT Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Usaha mengenal pasti waris mangsa sedang giat dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu kenderaan secara melulu hingga menyebabkan kematian,” katanya.

Berita berkaitan

'Tiga rentung dalam BMW'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 11:31 PM