WARGA Kuantan tidak melepaskan peluang mengikuti perkembangan pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertua Agong ke-16. FOTO  Muhd Asyraf Sawal
WARGA Kuantan tidak melepaskan peluang mengikuti perkembangan pelantikan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertua Agong ke-16. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Amin Ridzuan Ishak dan Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


PELANTIKAN Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 menggembirakan pelbagai lapisan rakyat Pahang.

Terharu, gembira, bersyukur, bangga antara yang diluahkan rakyat di negeri ini mengenai pelantikan Al Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong yang baharu, malah ada juga yang mendoakan kesejahteraan baginda.

Peniaga kedai makan, Wan Rahaimi Wan Mokhtar, 56, berkata, pelantikan baginda sudah pasti menjadi kebanggaan untuk rakyat di seluruh negeri ini kerana baginda dikenali sebagai sultan yang dekat dihati rakyat jelata.

“Saya doakan baginda dan isteri (Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah) diberi kesihatan yang baik untuk memerintah negara dengan bijaksana, semoga baginda diberikan kesejahteraan berpanjangan,” katanya hari ini.

Dia yang berasal dari Kempadang, Kuantan, juga berharap pelantikan baginda turut membawa keberkatan dan kehidupan yang lebih aman kepada rakyat Malaysia keseluruhannya.

Pekerja am, G Kasthuri, 35, berkata, Al-Sultan Abdullah dikenali sebagai sultan yang prihatin kepada rakyat Pahang dan pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong tepat pada masanya.

Dia yang berasal dari Kuala Lipis, Lipis, terharu dengan pemilihan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong dan yakin perasaan itu turut dikongsi bersama seluruh masyarakat Malaysia.

“Sudah tentu sebagai rakyat Pahang saya bangga dan gembira kerana seperti satu penghormatan buat kami. Saya harap baginda dapat memerintah negara dengan adil serta belas ihsan,” katanya.

Peniaga makanan, Nor Laila Ariffin, 48, pula berkata, Al-Sultan Abdullah diumpamakan sultan yang merendah diri dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.

Katanya, apabila berlaku bencana seperti kebakaran dan banjir baginda antara yang terawal melawat dan bertanya khabar kepada mangsa.

Katanya, baginda juga sering dilihat tidak terlalu mengikut protokol apabila senang duduk semeja dengan rakyat sambil berbual mengenai permasalahan dihadapi rakyat.

“Bila sudah jadi Yang di-Pertuan Agong saya doakan sikap dan sifat itu sentiasa ada pada baginda... Insya Allah baginda akan disayangi rakyat seluruh negara,” katanya.

Peniaga barangan runcit, Abdul Jabbar Abdul Rahman, 71, berkata, dia mempunyai kenangan bersama baginda beberapa tahun lalu dan baginda disifatkan seorang yang peramah.

“Bila berbual, baginda banyak bertanya khabar dan perkembangan rakyatnya. Apa kita buat? Ada sebarang masalah atau tidak? Semua itu baginda akan tanya. Jika kita beritahu ada masalah baginda akan cuba memberi penyelesaian,” katanya.

Tukang jam, Loo Chee Seng, 56, menyifatkan Al Sultan Abdullah sebagai sultan yang berpengalaman luas dan layak dipilih sebagai Agong.

“Dahulu masa jadi Tengku Mahkota Pahang, baginda selalu ikut dan belajar daripada Sultan Ahmad Shah (paduka ayahanda) bagaimana hendak mentadbir negeri, daripada situ baginda menimba pengalaman dan sekarang sudah layak untuk memerintah,” katanya.

Sementara itu, peniaga barangan runcit, Wong Ching Chean, 30, berharap baginda mampu mentadbir dan memerintah negara dan negeri Pahang dengan baik.

Katanya, rakyat berbilang bangsa sudah tentu akan menyanjung baginda sekiranya pemerintahan baginda membawa kemakmuran dan kesenangan kepada semua golongan.

Berita berkaitan

Sultan Pahang Agong ke-16, Sultan Perak Timbalan Agong

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 4:35 PM