Rakyat sentiasa di hati Sultan Abdullah. Gambar menunjukkan baginda berbual dengan Mohd Shukor Ahmad Gundal, 56,(kiri) iaitu bapa kepada Mohammad Faris yang lemas ketika memancing di Sungai Pahang berhampiran Kampung Tanjung Medang, Pekan, Ahad lalu. Sultan Abdullah melawat kediaman keluarga itu di Perumahan Dato Shahbandar, Pekan kelmarin. FOTO Amin Ridzuan Ishak
Rakyat sentiasa di hati Sultan Abdullah. Gambar menunjukkan baginda berbual dengan Mohd Shukor Ahmad Gundal, 56,(kiri) iaitu bapa kepada Mohammad Faris yang lemas ketika memancing di Sungai Pahang berhampiran Kampung Tanjung Medang, Pekan, Ahad lalu. Sultan Abdullah melawat kediaman keluarga itu di Perumahan Dato Shahbandar, Pekan kelmarin. FOTO Amin Ridzuan Ishak
BERNAMA

LASAK, adil dan berjiwa rakyat menggambarkan keperibadian Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 hari ini.

Sultan Abdullah sinonim dengan sifat sopan dalam menyantuni rakyat, suatu nilai yang diwarisi daripada ayahanda baginda Sultan Ahmad Shah Sultan Abu Bakar.

Keprihatinan Sultan Abdullah dapat dilihat dengan jelas bila mana setiap kali mendengar rakyat ditimpa bencana, baginda dan isteri Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan segera mencemar duli untuk bertanya khabar, memberi kata-kata semangat dan mengurniakan sumbangan peribadi.

Malah Sultan Abdullah yang memasuki usia 60 tahun pada tahun ini, seringkali ‘tidak menang tangan’ terutama ketika berlaku bencana banjir kerana baginda sebolehnya mahu memastikan semua daerah terbabit tidak terlepas daripada perhatian baginda.

Sultan Abdullah juga adalah figura yang tidak asing dalam sukan tanah air terutama bola sepak kerana selain handal beraksi di padang, aspek kepimpinan Seri Paduka dalam sukan tersebut cukup terserlah.

Pada masa ini, Sultan Abdullah merupakan Anggota Majlis Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) dan Anggota Jawatankuasa Eksekutif FIFA selain pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Minat mendalam terhadap sukan bukan hanya dizahirkan dalam bola sepak, namun juga diperlihatkan dalam sukan hoki dan polo, apabila baginda pernah menerajui pasukan Polo Diraja Pahang dalam perlawanan antarabangsa di Windsor Polio Club, England selain mengambil bahagian pertandingan antaranya di Singapura, Amerika Syarikat, Argentina, Sepanyol, Belgium dan Manila, Filipina.

Sultan Abdullah adalah cahaya mata keempat dan putera sulung kepada Sultan Ahmad Shah dan Almarhum Tengku Ampuan Afzan Tengku Muhammad itu diputerakan pada 30 Julai 1959 di Istana Mangga Tunggal, Pekan.

Baginda menerima pendidikan awal prasekolah di Sekolah Clifford, Kuala Lipis pada 1965, sebelum menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Ahmad, Pekan (1966–1969) dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Thomas, Kuantan serta pengajian peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas (1970–1974)

Sultan Abdullah terkenal dengan disiplin yang tinggi hasil didikan di The Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom (UK) selama setahun bermula 1978, yang mana komitmen baginda membolehkan baginda dilantik sebagai Leftenan Muda, Royal Military Academy, Sandhurst, England dengan menerima pentauliahan oleh Queen Elizabeth II pada tahun 1980.

Baginda juga adalah Kapten bagi pasukan Kor Kavelri Diraja Malaysia dan pada 1 Mei 1999 telah dilantik menjadi Leftenan Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah, dan menjadi Kolonel, Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 Jun 2000 serta menjadi Brigadier Jeneral, Komander Rejimen 505 Askar Wataniah pada 1 April 2004.

Selain latihan ketenteraan, baginda juga pernah mengikuti pengajian di Aldenham School, Elstree, Hertfordshire, UK dan Davies College, London, UK (1975–1977) dan di di Worchester & Queen Elizabeth College, UK (1980 – 1981) sehingga dianugerahkan Diploma In International Relations And Diplomacy.

Dari aspek kepimpinan negeri, daya kepimpinan baginda ‘diuji’ buat kali pertama apabila dilantik sebagai Pemangku Raja Pahang pada 28 April 1979 untuk tempoh lima tahun selepas ayahanda baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-VII sebelum sekali lagi dilantik pada 28 Dis 2016.

Sultan Abdullah mendirikan rumah tangga dengan Ke bawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Puan Pahang Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Almutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj, 59, pada 6 Mac 1986.

Baginda memiliki sembilan orang cahaya mata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 January 2019 @ 4:28 PM