Aminuddin menyampaikan kunci projek rumah program Baiti Jannati TNB kepada Siti Ruhaidah. FOTO Hazreen Mohamad
Aminuddin menyampaikan kunci projek rumah program Baiti Jannati TNB kepada Siti Ruhaidah. FOTO Hazreen Mohamad
Ifwan Tun Tuah


“BILA musim hujan, saya dan anak-anak resah kerana rumah kami uzur dan banyak bumbung bocor,” kata Siti Ruhaidah Mahumad, 35, ibu tunggal dari Kampung Sawah, Bukit Pelandok, Port Dickson.

Ibu tunggal itu yang menerima bantuan perumahan melalui program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkata, setiap kali musim hujan, semua perabot, pakaian dan buku sekolah anak-anaknya basah.

“Rumah pusaka peninggalan ibu dan ayah ini sudah uzur dan saya tidak mampu baiki kebocoran itu kerana keadaannya terlalu teruk.

“Saya dan tiga anak berusia antara empat hingga 12 tahun tiada pilihan dan terpaksa bertahan dengan melakukan apa saja cara untuk mengurangkan dibasahi hujan termasuk menadah baldi,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan program ‘Back To School 2019’ dan Baiti Jannati TNB di Port Dickson hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun merasmikan program itu.

Hadir sama Ketua (Perhubungan Awam dan Dalaman) TNB, Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin.

Pada majlis itu, 200 pelajar kurang berkemampuan dari lima sekolah di sekitar daerah itu menerima bantuan persekolahan bernilai RM200 setiap seorang.

Siti Ruhaidah yang bekerja sebagai pembantu kafe dengan gaji RM800 sebulan itu berkata, kesusahan mereka disedari guru sekolah anaknya serta pemimpin di kampung itu yang berusaha mendapatkan bantuan untuk keluarganya.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat nasib kami termasuk TNB yang membina semula rumah tiga bilik yang selesa menggantikan rumah uzur sebelum ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Aminuddin berkata, TNB memperuntukkan RM7.75 juta daripada wang zakat untuk tujuan pembinaan 167 rumah melalui program Baiti Jannati di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 2:58 PM