KEADAAN rumah lama Hathijah.
KEADAAN rumah lama Hathijah.
PROJEK Baiti Jannati TNB di Kampung Paya, Port Dickson.
PROJEK Baiti Jannati TNB di Kampung Paya, Port Dickson.
HATHIJAH melayan suami dan cucu di rumah baru mereka.
HATHIJAH melayan suami dan cucu di rumah baru mereka.
Oleh Hamizah Badiran

Pengalaman getir menghuni rumah usang dengan menumpang tanah rizab sungai sejak usianya sembilan tahun, kini tinggal kenangan bagi penerima rumah di bawah Program Baiti Jannati (PBJ) Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Mengimbau memori kali pertama mengetahui dirinya dan keluarga layak menerima bantuan ini, Hathijah Mohd Shariff, 57, mengucapkan syukur kepada Allah.

Hathijah berkata, dulu dia pasti risau setiap kali hujan lebat kerana bumbung rumahnya yang bocor menyebabkan air membasahi ruang dalam.

Lebih memburukkan keadaan, sekitar rumah usang mereka yang terletak di Kampung Paya, Port Dickson, Negeri Sembilan pasti akan banjir apabila air sungai berdekatan melimpah.

Rumah papan itu sudah uzur, bilik air dan tandas pula jauh daripada keadaan sempurna manakala parit turut tersumbat selain keadaan persekitaran dipenuhi semak.

Pendapatan tidak menentu hasil berniaga sayur kampung di Pasar Port Dickson membuat dia tidak pernah terfikir dapat memiliki rumah sempurna suatu hari nanti.

Namun, menurut Hathijah, sejak wakil TNB datang membuat dan membuat penilaian rumahnya pada Januari lalu, hasrat untuk memiliki rumah sendiri mula membungakan harapan.

“Alhamdulillah, apabila wakil TNB datang menyerahkan surat tawaran PBJ Mac lalu, saya gembira dan seolah-olah tidak percaya,”katanya ketika ditemui di rumah barunya.

Projek membina rumah berharga RM50,000 di atas tanah kurnia kerajaan di Kampung Paya itu bermula 26 Mei dan siap sepenuhnya 23 Julai lalu.

Kini, dia tinggal bersama suaminya, Mohd Radi Wee Abdullah, 58, seorang anak dan tiga cucu di rumah barunya itu yang terletak kira-kira setengah kilometer dari tapak rumah lamanya.

Seperti rumah PBJ lain, rumah Hathijah berkeluasan 120 meter persegi dilengkapi ruang tamu, tiga bilik tidur, ruang makan, dapur, bilik air dan tandas.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 9:07 AM