MANOGARAN beramah mesra ketika berkempen di Pasar Malam Pos Betau, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang
MANOGARAN beramah mesra ketika berkempen di Pasar Malam Pos Betau, semalam. FOTO Farizul Hafiz Awang
Mohd Nasaruddin Parzi

Cameron Highlands: Caj tempat meletak kenderaan tinggi yang dikenakan Majlis Daerah Cameron Highlands ketika ini didakwa membebankan penduduk di kawasan itu.

Demikian luahan calon Pakatan Harapan (PH) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands M Manogaran sambil memaklumkan caj yang dikenakan untuk tempoh seminggu itu sememangnya tidak masuk akal.

Menurutnya, ia adalah antara masalah setempat yang dikenal pasti pihaknya selepas menerima banyak aduan daripada masyarakat berkaitan perkara itu.

“Rakyat tidak puas hati, pembayaran caj letak kereta selama tujuh hari seminggu, Ahad pun mereka kena bayar. Ipoh dan Kuala Lumpur hari Ahad pun tidak perlu bayar.

“Memandangkan caj baru ini dikemukakan (berkuatkuasa) Oktober tahun lepas, kita tidak jangka kadar bayaran dikenakan begitu tinggi, bayaran bulanan juga tinggi.

“Kita lihat di Kuantan RM52 untuk bayaran bulanan, di sini dikenakan RM80 kalau saya tidak silap, tidak tahu apa puncanya (caj tinggi),” katanya.

Beliau berkata, wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata sudah mengajukan masalah itu kepada Majlis Daerah Cameron Highlands tetapi seperti tidak dapat penjelasan yang baik.

“YB (Yang Berhormat) kita di sini sudah tulis surat rasmi kepada mereka tetapi mereka nyatakan tidak dapat turunkan caj tempat letak kereta, alasannya ia mengikut peruntukan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tidak boleh dipinda.

“Saya sebagai peguam mahu beritahu ini tidak betul. Mana-mana peruntukan boleh ditukar dan tidak perlu pindaan di Parlimen pun,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Program Perayaan Ponggal di Tanah Rata di sini.

  • Lagi berita berkaitan PRK Cameron Highlands
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 January 2019 @ 9:52 AM