BOMBA membantu mangsa. FOTO Ihsan Bomba
BOMBA membantu mangsa. FOTO Ihsan Bomba
Zatul Iffah Zolkiply


GADIS terperangkap hampir 20 minit di dalam kereta bapanya ketika berhenti di sebuah kedai serbaneka di Jalan Tok Lam, di Kuala Terengganu, hari ini.

Dalam kejadian 2.10 petang itu, mangsa berusia 22 tahun yang demam dikatakan ditinggalkan sebentar oleh ibu bapanya yang ke kedai serbaneka.

Ketika itu, enjin dan penyaman udara kereta terpasang.

Bagaimanapun, sebaik ibu bapanya kembali ke Proton Iswara Aeroback itu, pintu kereta sudah terkunci.

Kedua ibu bapa gadis itu kemudian cuba membangunkan anak mereka dengan mengetuk tingkap dan pintu kereta serta menggoncangkan kereta, namun gagal selepas gadis itu tidur kerana tidak sihat.

Selepas beberapa minit cuba membangunkan anaknya untuk membuka pintu kereta, ibu bapa mangsa bertindak menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.

Sementara itu, Penyelia Pasukan A Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Pegawai Bomba Kanan II Faizal Abu Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu, jam 2.30 petang.

Katanya, sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bersama lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian untuk kerja menyelamat.

“Sebaik sampai di lokasi kejadian, kita dapati seorang gadis berada di dalam kereta dan kami dimaklumkan dia tidak sihat.

“Kita mengambil masa hampir satu minit untuk membuka pintu kereta berkenaan menggunakan beberapa peralatan khas sebelum mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah menggunakan kenderaan EMRS untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 January 2019 @ 5:17 PM