Sebahagian motosikal yang dilerai suspek. Foto Polis
Sebahagian motosikal yang dilerai suspek. Foto Polis
Hadzlihady Hassan


DUA sahabat menggunakan ‘kepakaran’ masing-masing iaitu mencuri dan meleraikan komponen motosikal untuk melakukan jenayah curi motosikal.

Bagaimanapun, perbuatan itu terbongkar apabila polis berjaya menahan mereka dalam serbuan Op Lejang di Kampung Permatang Rawa, Bukit Mertajam, 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, serbuan dijalankan susulan daripada laporan kehilangan motosikal yang dilakukan seorang peniaga berusia 46 tahun.

Menurutnya, mangsa membuat laporan, kerana motosikal Honda EX5 merah yang diletakkan di depan kedainya di Permatang Pauh, didapati hilang Rabu lalu.

“Susulan daripada itu, polis menjalankan operasi dan berjaya menahan dua suspek masing-masing berusia 20 dan 19 tahun.

“Ketika ditahan, mereka sedang leka meleraikan motosikal berkenaan dipercayai untuk dijual komponennya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nik Ros Azhan berkata, seorang daripada suspek mengaku mencuri motosikal terbabit manakala seorang lagi mendakwa dia hanya meleraikan motosikal berkenaan.

“Dalam serbuan itu, kita berjaya merampas allen key yang diubahsuai serta pelbagai komponen motosikal yang sudah dileraikan.

“Dua suspek terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 January 2019 @ 6:13 PM